Pencerobohan Lahd Datu: Perkembangan Teknologi Cabaran Utama Menyampaikan Maklumat Tepat

KUALA LUMPUR – Perkembangan teknologi yang semakin canggih merupakan cabaran utama pegawai penerangan dalam menyampaikan maklumat tepat kepada seluruh rakyat tentang isu pencerobohan kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina di Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata insiden sedemikian yang jarang berlaku juga menyebabkan segelintir pihak mengambil kesempatan menyebar dakyah dan maklumat tidak tepat menerusi pelbagai medium baharu teknologi.

Namun katanya usaha berterusan yang dilakukan Jabatan Penerangan, antaranya program gerak saraf iaitu bersemuka dengan penduduk, dilihat mampu menangkis khabar angin berkenaan.

“Menerusi usaha ini, segala maklumat terbaharu dan tepat sama ada daripada penduduk kampung atau pasukan keselamatan akan dikumpul bagi memudahkan rakyat mengetahui suasana sebenar yang berlaku seterusnya menangkis maklumat palsu yang disebar sesetengah pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Bernama, di sini Selasa.

Beliau berkata pegawai bertugas perlu melihat insiden pencerobohan itu sebagai satu peluang untuk mereka meningkatkan skil mengendali krisis negara dengan mempamerkan kredibiliti yang berkualiti dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan berasas.

Ibrahim yang juga Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) sebelum itu menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Institut Pembangunan Profesional, Universiti Terbuka Malaysia (IPD-OUM) sebagai jalinan kerjasama mengiktiraf bidang perhubungan awam untuk dijadikan satu program pengajian yang ditawarkan di institut tersebut.

Program yang menawarkan dua peringkat pengajian iaitu sijil profesional dan diploma profesional itu diwujudkan untuk meningkatkan skil pengamal bidang berkenaan terutamanya mereka yang kurang kelayakan relevan.

Ibrahim berkata pihaknya memilih IPD-OUM kerana subjek yang ditawarkan menerusi program itu menepati standard yang ditetapkan IPRM dan beliau yakin institut berkenaan mampu mengekalkan kualiti pengajian mereka dalam jangka masa panjang.

Naib Presiden Kanan OUM Prof Dr Mansor Fadzil berkata jalinan kerjasama dengan IPRM merupakan batu loncatan untuk pihaknya melahirkan lebih ramai pengamal perhubungan awam yang diiktiraf dalam negara.

“Membina satu jenama dalam mana-mana organisasi kini menjadi perkara penting dan menerusi program yang ditawarkan ini, kami akan mengiktiraf potensi masa depan pengamal perhubungan awam sebagai pemangkin transformasi kejayaan dalam organisasi,” katanya. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.