Kontraktor Gagal Baiki Rumah Program Kasih FELDA Berhadapan Tindakan Saman

 

JEMPOL – Kontraktor yang gagal membaiki rumah di bawah Program Kasih Felda berdasarkan spesifikasi ditetapkan bakal berhadapan dengan surat saman.

Pengarah Yayasan Felda, Mohd. Banuri Aris berkata, antara kelemahan dalam kerja kontraktor yang dikesan adalah bahan binaan yang diguna pakai tidak seperti yang dikehendaki.

”Kita akan panggil bersama wakil beberapa agensi kerajaan dan kontraktor terlibat untuk mengenal pasti kelemahan itu. Buat masa ini, kita akan keluarkan surat amaran kepada kontraktor dan mahu mereka menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku,” ujar Mohd. Banuri.

Beliau kesal apabila tinjauan dilakukan pegawai daripada unit Kasih Felda ke beberapa kampung yang terlibat dalam program tersebut mendapati, ada di antara rumah di perkampungan Orang Asli Jeram Panjang dekat Palong terbabit berhadapan dengan masalah kerja tidak berkualiti.

Tegas Mohd. Banuri, pihaknya mahu kontraktor terlibat segera membaiki semula kerosakan dan membinanya mengikut spesifikasi ditetapkan.

”Di kawasan ini terdapat 20 rumah di bawah Program Kasih Felda, tetapi 18 daripadanya berhadapan pelbagai masalah pembinaan.

”Jangan ada yang melakukannya sambil lewa. Hasrat Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad ialah mahu melihat setiap kerja itu terhasil dengan pembinaan yang berkualiti dan menggembirakan penerima program ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, tahun lalu sahaja sebanyak 1,000 unit rumah telah dibaik pulih di negeri ini. – UTUSAN

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.