FGV Peruntuk Biasiswa Pendidikan Lepasan SPM Dan Latihan Kemahiran

 

LANGKAH memberikan peruntukkan bagi tujuan biasiswa anak-anak peneroka merupakan amalan berterusan Felda Global Ventures (FGV) atas peruntukkan yang telah disalurkan terutama kepada Yayasan Felda yang bertindak sebagai pelaksana program-program berkaitan.

Pada tahun lalu misalnya, FGV memperuntukkan RM25 juta kepada yayasan tersebut khusus untuk perbelanjaan biasiswa pendidikan.

FGV juga membuka tajaan biasiswa kepada rakyat Malaysia khususnya anak-anak peneroka Felda yang mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan peruntukkan RM900 ribu bagi seorang pelajar melanjutkan pelajaran bermula dari peringkat A-Level hingga Ijazah Sarjana Muda.

Menurut Ketua Eksekutif FGV, Datuk Sabri Ahmad, langkah ini menjadi tanggungjawab sosial FGV membantu memakmurkan rakyat khususnya warga Felda dan jumlah peruntukkan sedia ada juga akan ditambah sekiranya FGV memperolehi keuntungan yang lebih besar.

Selain itu, sebahagian daripada kos pengajian anak-anak peneroka di institusi pengajian tinggi (IPTA) akan ditanggung oleh Felda bagi meringankan beban kerajaan dan mempelbagaikan penguasaan kemahiran bagi memenuhi pasaran kerja.

Ini dijangka membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk tahun pertama diikuti RM30 juta pada tahun kedua dan RM45 juta pada tahun ketiga.

Di samping itu, skim latihan kemahiran juga akan diperluaskan termasuk dalam bidang kejuruteraan khusus buat anak-anak peneroka dan anak keluarga miskin di bandar-bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah ini di ambil berdasarkan persetujuan Felda untuk memperluaskan peranannya bersesuaian dengan prinsip berkongsi kekayaan.

DS Najib telah menjelaskan, separuh pengajian pelajar di kalangan anak Felda akan dibiayai Felda manakala separuh lagi di tanggung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, langkah memperluaskan skim latihan kemahiran itu membolehkan anak-anak Felda diberi peluang mengikuti kursus berkaitan seperti melahirkan jurutera penyelanggaraan pesawat dan bidang-bidang kemahiran lain.

Skim ini juga memberikan nilai tambah terutama untuk menceburi bidang pekerjaan yang lebih baik kepada anak-anak peneroka.

Sebagai contoh, skim latihan itu antaranya melibatkan skim latihan dengan kerjasama Malaysia Airline System Bhd. (MAS) serta institusi swasta lain.

Mengulas mengenai pembiayaan separuh daripada kos pengajian pelajar IPTA di kalangan anak Felda, DS Najib berkata, ia turut membantu beban kerajaan.

“Dua langkah terbaru ini adalah rentetan kejayaan menerusi penyenaraian Felda Global Ventures Bhd. (FGV) dan menerusi dana tambahan, kita bersetuju untuk turut mengagihkannya kepada rakyat,” ujarnya.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.