FELDA Tekam Utara – Gajah Rosakkan Tanaman Sawit

 

JERANTUT – Para peneroka di Felda Tekam utara di sini bimbang berikutan kehadiran sekumpulan gajah yang masuk ke ladang sawit mereka sehingga merosakkan tanaman tersebut baru-baru ini.

Seorang peneroka, Khairol Azmi Musa, 44, berkata, kejadian tersebut disedari pada 26 Mac lalu dan membabitkan lapan gajah yang menceroboh dua kawasan ladang serta telah memusnahkan sebanyak 15 pokok kelapa sawit yang melibatkan kerugian RM4,000.

Menurutnya, dia menyedari kehadiran haiwan itu pada pukul 8 malam yang dipercayai datang dari arah Hutan Simpan Berkelah berdekatan dengan tanah rancangan ini.

“Kita meminta para peneroka bersatu dengan memberi kerjasama kepada pihak tertentu dalam memasang pagar elektrik di ladang masing-masing.

“Langkah itu bertujuan bagi mengelak haiwan tersebut terus memasuki ladang dan memusnahkan pokok kelapa sawit di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Khairol berkata, sekiranya tiada tindakan diambil, para penduduk bimbang haiwan tersebut akan memasuki kampung dan mengancam keselamatan penduduk di sini.

Bagi seorang lagi penduduk, Che Ibrahim Omar, 60, pada pukul 11 malam kejadian itu, dia bersama beberapa petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menghalau kumpulan gajah itu masuk semula ke dalam hutan berhampiran.

”Jika ancaman gajah ini berterusan sudah tentu peneroka akan mengalami kerugian besar.

”Oleh itu, saya menyeru peneroka di sini supaya memberi kerjasama kepada pihak berkenaan dalam usaha membina pagar elektrik untuk kebaikan bersama,” katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Tekam Utara, Mohd. Rashid Abbas, 56, berkata, kejadian itu sudah berlarutan sejak 2009 dan kumpulan gajah tersebut akan kembali untuk mendapatkan makanan dengan musnahkan pokok kelapa sawit peneroka. – UTUSAN

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.