Bahan Kempen Perlu Dibersih Selewatnya Ahad – Weekenders Alukan Derma Bahan Kempen Terpakai

 

KUALA LUMPUR – Parti politik dan calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) perlu membersihkan semua jenis bahan kempen mereka selewat-lewatnya Ahad ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sekiranya bahan kempen itu tidak dibersihkan, wang deposit bahan kempen iaitu RM5,000 bagi calon parlimen dan RM3,000 bagi calon dewan undangan negeri, tidak akan dipulangkan.

“Saya berharap parti politik atau calon yang bertanding mengambil tanggung jawab membersihkan bahan kempen masing-masing selewat-lewatnya 14 hari selepas hari mengundi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata Umno dan anggota Barisan Nasional (BN) yang lain kini giat menjalankan kerja pembersihan bahan kempen.

“Kerja menurunkan bahan kempen berjalan lancar, kami telah minta bahagian Umno di seluruh negara menyelesaikan kerja itu sebelum Ahad ini. Kami harap semua selesai nanti,” katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata parti-parti pakatan rakyat juga sedang giat menjalankan kerja menurunkan poster serta membersihkan bahan kempen lain dan percaya semuanya dapat diselesaikan menjelang Ahad ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan operasi pembersihan bahan kempen pilihan raya selepas tempoh 14 hari itu tamat.

Menurutnya, DBKL telah menghantar notis kepada semua parti politik terlibat supaya membersihkan bahan kempen atau berdepan risiko kehilangan deposit.

Dalam pada itu, sebuah kelab dikenali sebagai ‘Weekenders’ mengalu-alukan derma berbentuk bahan kempen terpakai yang boleh dijadikan tilam dan bantal untuk disumbangkan kepada golongan gelandangan.

Pengerusinya, Hisham Mahir berkata projek itu dapat mengurangkan bahan yang sukar dilupuskan di tempat pembuangan sampah.

“Kami harap dapat mengagihkan semua bantal dan tilam yang siap itu kepada golongan gelandangan dalam satu program amal di Masjid Jamek Kuala Lumpur, 6 Jun ini,” katanya.

Pihak yang berminat untuk menderma bahan kempen atau menjadi sukarelawan projek boleh menghubungi beliau di talian 011-19731645 atau laman Facebook http://bit.ly/banner4homeless. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.