8.1 Billion Untuk Biaya Terminal Gegasan Semula Lahad Datu Dan Pengerang – Petronas

 

KUALA LUMPUR – Petronas Gas Bhd akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM8.1 bilion bagi lima tahun akan datang, terutamanya untuk membiayai terminal pengegasan semula di Lahad Datu dan Pengerang.

Pengerusinya, Datuk Anuar Ahmad, berkata capex yang akan digunakan mulai akhir 2012 itu akan diperuntukkan daripada perbelanjaan modal kumpulan keseluruhan syarikat induknya, Petronas Bhd, berjumlah RM60 bilion mulai 2011.

“Kami telah membuat komitmen untuk mula menggunakan dana itu mulai akhir tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini Khamis.

Bagi tahun ini, kata Anuar, PGB bercadang membelanjakan kira-kira RM1 bilion daripada capex lima tahun itu, terutamanya untuk membiayai kerja-kerja mencergaskan semula dan menyusun semula kilang di Kertih dan Kemaman, Terengganu.

Tahun lepas, peruntukan berjumlah hingga RM700 juta telah dibelanjakan bagi pembangunan terminal pengegasan semula LNG Melaka, yang telah diuji awal bulan ini.

“Pelaburan tahun depan akan ditumpukan kepada Pengerang dan Lahad Datu,” katanya.

Menurut Anuar, Terminal Pengegasan Semula LNG Melaka dijangka menyumbang empat hingga lima peratus kepada pendapatan entiti itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013.

Berdasarkan tahunan mulai tahun depan, katanya, syarikat itu menjangkakan sumbangan keuntungan sebanyak 10 peratus daripada terminal gas itu.

“Loji itu telah diuji pada 30 April tahun ini dan kami menjangka untuk melihat sumbangan sebanyak kira-kira lima peratus setahun,” katanya.

Menurut Anuar, kumpulan sedang mengadakan rundingan dengan pihak-pihak berminat yang mahu mengimport gas, tetapi belum mencapai sebarang keputusan. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.