Ehsan Group of Companies Sambut Baik Usaha PUGFM Bantu Anak-anak Yatim

SUBANG JAYA – Usaha Pertubuhan Usahawan Generasi Felda Malaysia (PUGFM) yang membantu anak-anak yatim di bulan Ramadhan ini dengan memberikan bantuan membeli pakaian Hari Raya Aidilfitri kepada mereka disambut baik oleh Ehsan Group of Companies.

Ehsan Group of Companies adalah salah satu syarikat yang turut bekerjasama dengan PUGFM menganjurkan program amal ini.

Pengarah syarikat, Abdul Hamid P.V. gembira kerana dapat bekerjasama dengan PUGFM buat pertama kali tahun ini.

“Sejak 12 tahun lalu, Ehsan Group of Companies sudah menganjurkan dan memberikan bantuan kepada anak-anak yatim di bulan Ramadhan.

“Dan apabila PUGFM mengutarakan cadangan ini kepada Ehsan, kita terus setuju untuk turut serta. Membantu anak-anak yatim dengan memberikan sumbangan yang sewajarnya,” kata Abdul Hamid yang ditemu bual di pusat membeli-belah Mydin, Subang Jaya hari ini.

Kata Abdul Hamid, bantuan yang diberikan oleh Ehsan Group of Companies pada tahun ini lebih meriah dengan bekerjasama dengan PUGFM.

Ini kerana, program berbuka puasa yang kebiasaannya dianjurkan oleh syarikatnya ditambah dengan usaha menghulurkan bantuan dalam bentuk membelikan pakaian raya kepada anak-anak yatim.

“Seperti tahun ini, Ehsan sudah membantu seramai 600 anak-anak yatim. Tahun ini lebih meriah, selain berbuka puasa, bersama dengan PUGFM juga, kita turut menyumbangkan pakaian dengan cara membelikan pakaian buat mereka,” katanya.

Justeru, Abdul Hamid mengharapkan agar usaha murni yang dibuat oleh PUGFM ini diteruskan pada masa hadapan.

Malah, Ehsan Group of Companies juga akan menyertai lagi sekiranya diberikan peluang sebagai penyumbang dalam program amal ini.

“Jadi, kami berharap untuk tahun akan datang, kalau ada peluang untuk memberikan sumbangan, kami akan sertai lagi walaupun ini kali pertama Ehsan menyertai bersama-sama PUGFM,” tambah Abdul Hamid.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.