SGEDT Dijangka Siap Hujung Tahun 2014

 

SEREMBAN – Projek Landasan Kereta Api Elektrik Berkembar Seremban-Gemas (SGEDT) dijangka dapat diuji pada penghujung 2014.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keupayaan rel, kelancaran tren dan paling utama ujian isyarat atau signal terhadap aliran kereta api akan dilakukan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersama juru perunding agar ia berfungsi dengan baik sebelum diberikan ‘lampu hijau’ bagi operasi awam.

‘‘Projek SGEDT sepatutnya siap hujung tahun ini, tetapi beberapa masalah melibatkan laluan di kawasan Melaka seperti isu pengambilan tanah menyebabkan ia sedikit terlewat.

‘‘Apa pun, kita optimis projek yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit itu akan dapat disiapkan hujung 2014 dan jika tiada halangan, ia akan dapat digunakan pada 2015. Mungkin KTMB juga mempunyai jadual tersendiri yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, beberapa stesen kereta api baharu yang menjadi laluan rel berkembar elektrik itu dalam kawasan Negeri Sembilan sudah siap sepenuhnya seperti di Rembau dan Gemas selain stesen baharu di Sungai Gadut dan hentian Senawang.

Pembinaan projek SGEDT bernilai RM3.45 bilion meliputi jarak sejauh 98.2 kilometer mula dibina oleh Indian Railway Construction (IRCON) melalui anak syarikatnya, IRCON International Ltd pada Januari 2008.

‘‘Oleh kerana kereta api ini digerakkan dengan tenaga elektrik, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah menyiapkan beberapa keperluan tenaga termasuk menempatkan stesen janakuasa mereka di lokasi tertentu sepanjang laluan kereta api ini,” katanya.

Apabila siap kelak, landasan berkembar itu akan menyaksikan perkhidmatan tren berkuasa laju yang mampu membawa lebih 350 penumpang dalam satu-satu masa dengan kelajuan 140 kilometer sejam, selain menaik taraf beberapa stesen di negeri ini.

Antara stesen yang terlibat adalah Stesen Sungai Gadut (baharu), Stesen Rembau, Stesen Tampin, Stesen Batang Melaka dan Stesen Gemas.

Pembinaan stesen berkembar itu juga turut merangkumi infrastruktur asas lain di setiap stesen bagi kemudahan awam seperti lif, tandas, medan kereta, telefon awam, sistem pungutan tambang automatik, sistem hebahan maklumat, surau dan sistem kawalan keselamatan kamera litar tertutup (CCTV).

‘‘Kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) turut diambil kira bagi memastikan tahap kepuasan rakyat dikecapi semua.

‘‘Kerajaan optimis dengan beroperasinya SGEDT ini kelak peningkatan jumlah penduduk di negeri ini dapat dilihat di mana akan menjadi penyokong kepada pembangunan yang semakin pesat.

‘‘Orang ramai akan memilih untuk tinggal di Negeri Sembilan walaupun bekerja di Kuala Lumpur kerana kita sudah mempunyai sistem kereta api laju yang dapat menjimatkan masa perjalanan mereka,” tegasnya. – UTUSAN

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.