4 Anak FELDA Berbakat Terbabit Hasilkan Karya “Psiko, Pencuri Hati”

 

Kebelakangan ini, “Psiko, Pencuri Hati” telah mula menjadi buah mulut terutama di laman media sosial, malah menjadi trending di laman Twitter dan juga Facebook.

“Psiko, Pencuri Hati” adalah filem arahan Namron yang telah mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tayangan dan akan ditayangkan pada 5 September 2013.

Namron yang telah biasa dalam bidang pengarahan teater ini, buat pertama kalinya telah mengarah filem “Psiko, Pencuri Hati”.

Selain itu, 4 orang anak FELDA turut terbabit sama dalam menghasilkan karya “Psiko, Pencuri Hati”.

Filem ini dibintangi oleh Bront Palarae, Sharifah Amani, Syed Hussein, Amerul Affendi, Suhaimi Yusuf, Shera Ayob, Julia Ziegler dan Yusmal Ghazali.

psiko1

Filem ini yang telah menjalani penggambaran disekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pemanggil, Mersing, dikahabarkan telah mendapat perhatian pelopor-pelopor industri perfileman luar negara.

“Psiko, Pencuri Hati” kini sedang dipertimbangkan untuk penyertaan ke Venice Film Festival dan juga Visions Du Reel International Film Festival.

LATAR BELAKANG PENGARAH “PSIKO, PENCURI HATI”

Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan dilahirkan pada 21 November 1969 di Kangar Perlis, Malaysia.

Beliau adalah seorang pengarah, penulis skrip dan pelakon teater, filem dan televisyen yang berbakat besar didalam industri perfileman Malaysia.

psiko4

Mula melibatkan diri didalam kegiatan teater pada tahun 1989 dengan menyertai group teater yang digelar “AKSI” di negeri kelahirannya itu.

Sejak tahun 1991, Nam Ron telah bergiat aktif bersama beberapa kumpulan teater yang diterajui karyawan muda Malaysia antaranya ialah kumpulan teater Sebatu, Alternate Stage dan Rumah Anak Teater (RAT).

Pelbagai genre telah dipentaskan melalui kumpulan teater yang disertai olehnya.

Antara tajuk teater yang dipentaskan bersama Sebatu ialah Jiwa (1992) dan Sel Terakhir (1994).

Nam Ron mula aktif mengarahkan beberapa buah teater yang berskala lebih besar sejak awal tahun 2000.

Antaranya ialah MISI, Proses, Gedebe (2001), Lembu (2002), Jangan Bunuh Sam (2003), Matderihkolaperlih (2003), Aku Nak Jadi Bintang (2004), Laut Lebih Indah dari Bulan, dan dua projek kolaborasi Ka Si Pe Cah (2006) dan Alih Punggong (2007).

Teater Mat Derih Kola Perlih telah dipentaskan di Singapura, manakala melalui projek kolaborasi bersama penggiat teater bahasa Cina, Loh Kok Man dan penggiat teater Inggeris, Jo Kukatas, Nam Ron telah bersama mementaskan Ka Si Pe Cah di Malaysia dan Tokyo, Japan.

Nam Ron aktif didalam menulis skrip dan mengarah filem pendek dan filem indie.

Antara tajuk filem indie arahan beliau yang menjadi perhatian umum ialah Gedebe, Gadoh dan terbaru Jalan Pintas.

SINOPSIS “PSIKO, PENCURI HATI”

“Psiko, Pencuri Hati” adalah sebuah filem yang mengisahkan tentang obsesi seorang penulis novel, Sidi yang dilakonkan oleh Bront Palarae, mengenai pembunuh bersiri yang sedang dikaji untuk penulisan terbarunya.

psiko2

Sidi dan sahabat karibnya Man dilakonkan Amerul Affendi, sentiasa bersama dan Man sentiasa membantu Sidi dalam menghasilkan penulisan yang terbaik dan bermutu namun adakalanya bersifat obsesi terlampau.

Sidi juga turut mengalami Gangguan Kompulsif Keterlaluan (Obsession Compulsion Disorder), mengkaji tentang satu pembunuhan bersiri yang mana pembunuh tersebut masih bebas di Kuala Lumpur.

Pembunuh tersebut digelar “Pencuri Hati” kerana didalam setiap siri pembunuhan yang dilakukan, pembunuh tersebut mengelar dan mengeluarkan hati mangsa pembunuhannya.

Sidi cuba untuk mengkaji dan menyelami pemikiran pembunuh sebagai watak utama didalam novel beliau yang seterusnya.

Sementara itu, Wani watak yang dilakonkan oleh Sharifah Amani, adalah isteri muda yang hidup dalam tekanan selepas mengalami 3 kali keguguran.

psiko3

Sejak itu, perkahwinan Wani dan seorang doktor, Khai yang dilakonkan Syed Hussein, bermasalah.

Khai cuba untuk memperbaiki keretakan perkahwinan mereka dan mencadangkan percutian ke Pulau Pemanggil di Mersing, Johor.

Wani yang diselubungi kesunyian dan kemurungan mengalihkan perhatian beliau dengan membaca novel kerya Sidi.

Akhirnya, pasangan ini bersetuju untuk cuba memperbaiki hubungan mereka dengan percutian di Pulau Pemanggil.

Resort penginapan mereka di Pulau Pemanggil adalah kepunyaan Pak Abu (Suhaimi Yusof) dan isterinya yang muda, Siti (Shera Aiyob).

Memandangkan percutian tersebut diluar musim, hanya mereka dan pemilik sahaja yang berada di pulau tersebut sehinggalah kedatangan Sidi dan Man untuk mencari ketenangan dalam menyiapkan novel terbarunya.

Wani tertarik kepada penulis misteri ini (Sidi) sehingga menimbulkan rasa tidak senang suaminya Khai, manakala Siti yang dingin terhadap suaminya pula mula tertarik kepada Khai.

psiko5

Ketegangan yang dibangkitkan mula terasa.

Dan kemudian, Siti ditemui mati dibunuh di pantai.

Apakah yang berlaku dan siapakah pembunuh Siti ?

Anda perlu saksikan tayangan filem ini pada 5 September 2013 untuk tahu siapa bunuh siapa dan siapa terperangkap dan diperangkap !

4 ANAK FELDA TERBABIT HASILKAN “PSIKO, PENCURI HATI”

Tahukah anda bahawa filem ini juga turut membabitkan 4 orang anak FELDA ?

4 orang anak FELDA yang telah terbabit sama dalam menghasilkan karya “Psiko, Pencuri Hati” adalah; Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip (Director Filmmecca Studio Sdn Bhd), Penulis Skrip dan Lakonlayar, Ayam Fared (Fared Jamaluddin), Pengarah Seni, Ray Hasnor dan Penyunting, Hafeez Mohd Noor.

Justeru itu, warga FELDA digalakkan untuk menonton filem hasil karya bersama 4 orang anak FELDA ini.

Ikuti pendedahan lanjut FeldaVoice tentang 4 orang anak FELDA berbakat ini pada keluaran akan datang.

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.