Subjek BM Diajar 240 Minit Seminggu Di Sekolah Jenis Kebangsaan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Waktu pembelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil akan meningkat daripada 180 minit seminggu kepada 240 minit seminggu untuk memperkasakan penguasaan bahasa itu dalam kalangan murid sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penambahan masa itu tidak akan menjejaskan pembelajaran bahasa ibunda lain seperti yang dikhuatiri sesetengah pihak.

“Kita tambah kerana kita rasakan (penguasaan) kurikulum Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan ini agak lebih rendah. Ia mesti dinaikkan taraf, walaupun tak setanding dengan Sekolah Kebangsaan tapi jangan terlalu jauh (jurangnya).

“Pegawai di peringkat kementerian ada mencadangkan supaya ditambah 270 minit, tetapi ini tak disenangi oleh masyarakat dan pendukung sekolah Cina, sekolah Tamil tak ada masalah, mereka terima.

“Jadi sebab itu kita ambil jalan tengah memutuskan tambahan 240 minit dan mereka semua terima,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Jumaat. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.