Kualiti Buku Teks Perlu Dipertingkat Dengan Dimasukkan Elemen ICT – Ketua Pengarah Pelajaran

SHAH ALAM – Kualiti buku teks sekolah perlu dipertingkatkan dengan dimasukkan elemen teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) supaya ia sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata kandungan buku teks elektronik ataupun e-book yang interaktif dapat membantu pelajar memahami sesuatu konsep yang sukar dalam pembelajaran.

“Misalnya, elemen berbentuk 3D dalam kandungan buku teks boleh membantu memperkuatkan pemahaman pelajar mengenai sesuatu konsep sukar dalam subjek.

“Usaha ke arah itu sedang dilaksanakan kementerian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Cemerlang Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di sini Ahad.

Mengulas lanjut, Abd Ghafar berkata negeri Terengganu telahpun mendahului negeri lain dengan menyediakan e-book dalam usaha menarik minat pelajar terhadap pembelajaran.

Ketika berucap pada majlis itu, Abd Ghafar berkata kerajaan membelanjakan hampir RM160 juta setahun bagi Program SPBT dan ia perlu diuruskan dengan baik bagi menjimatkan perbelanjaan.

Beliau berkata adalah merugikan kerajaan sekiranya buku teks yang dibekalkan Kementerian Pendidikan tidak digunakan di sekolah.

Lima sekolah muncul johan pada majlis Anugerah Pengurusan SPBT Cemerlang peringkat kebangsaan dengan membawa pulang wang tunai RM4,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.

Ia adalah Sekolah Kebangsaan (Felda) Purun, Pahang; SJKC Kwang Chien, Sarawak; SJKT Methodist Kapar, Selangor; Sekolah Menengah St. Michael, Sabah; dan Sekolah Rendah Agama Dato’ Mufti Yusof, Selangor.

Anugerah itu sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbiran sekolah serta guru SPBT dalam melaksanakan pengurusan SPBT yang cemerlang. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.