Parlimen: Sasaran Bina 80,000 Rumah Mampu Milih Boleh Dicapai

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan kelulusan projek untuk pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dapat dicapai menjelang akhir tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata setakat 30 Sept, projek pembinaan untuk 44,223 unit rumah PR1MA telah diluluskan di seluruh negara.

Katanya pelaksanaan projek tersebut memerlukan proses pelbagai peringkat, termasuk mendapatkan kelulusan pinjaman dan mendapatkan tanah dan kawasan yang sesuai.

“Apabila sesuatu projek pembinaan itu diluluskan maka ia boleh dijalankan, pemohon (pembeli) yang memenuhi syarat akan dimaklumkan dan mereka perlu mengikut prosedur biasa dalam pembelian rumah termasuk pinjaman,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Azmin Ali (PKR-Gombak) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Azmin ingin mengetahui faktor sasaran 80,000 rumah mampu milik yang ditetapkan oleh kerajaan masih belum dicapai, sedangkan kini menghampiri penghujung tahun 2013.

Menjawab soalan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan rumah mampu milik di bawah PR1MA, Shahidan berkata penambahan tersebut bergantung kepada kemampuan industri untuk menampung jumlah pembinaan rumah. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.