MPK Sokong BELIA Adakan Aktiviti Berfaedah

KUANTAN – Golongan belia yang mempunyai program tertentu dan mempunyai tapak yang sesuai di daerah ini dalam mengadakan aktiviti sihat diminta mengusulkannya kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk tindakan selanjutnya.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, pihaknya sentiasa terbuka terhadap sebarang cadangan daripada golongan tersebut bagi menganjurkan aktiviti yang membawa faedah kepada mereka.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu mengalu-alukan cadangan dan idea golongan belia dan akan membantu jika terdapat lokasi yang sesuai bagi mengadakan aktiviti tersebut.

“Setakat ini, MPK hanya menerima beberapa cadangan seperti menggunakan tapak letak kereta di hadapan UTC (Pusat Transformasi Bandar) bagi kelab aksesori keretea dan tempat parkir bas di Pantai Cherating bagi tujuan sukan permotoran drift.

“Bagi kedua-dua cadangan tersebut, kita akan meluluskan tempat yang diminta bagi menjalankan aktiviti berkenaan kerana melihat mampu menjadi salah satu tarikan pelancong untuk datang ke daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Deepavali MPK di Wisma Belia di sini baru-baru ini.

Sebanyak 1,000 warga MPK hadir meraikan sambutan tersebut dan turut diadakan penyampaian hamper dan wang tunai kepada golongan fakir miskin, warga emas, pesakit kronik serta orang kurang upaya.

Menurutnya, MPK berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak pertubuhan belia yang ingin menganjurkan aktiviti seumpama itu bagi membendung gejala sosial di kalangan mereka. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.