Maidam Peruntuk RM500,000 Sebagai Bantuan Kepada Mangsa Banjir

 

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 sebagai bantuan kepada mangsa banjir, masjid dan surau di daerah Kemaman akhir bulan ini.

Ketua Penolong Pengarah (Zakat) Maidam Azmi Tengah berkata bantuan itu akan membabitkan seramai 201 mangsa banjir, enam masjid dan 21 surau.

“Maidam akan memberi bantuan kepada asnaf yang berdaftar dengan Maidam dan juga kepada masjid dan surau yang terlibat banjir di Kemaman,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Affin Islamik Bank bagi tahun 2012 berjumlah RM466,666.67 di sini Selasa.

Beliau berkata Maidam berharap bantuan itu akan meringankan beban ibu bapa, yang kehilangan harta benda dalam banjir, bagi menghadapi sesi persekolahan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata Maidam berjaya memungut sebanyak RM107.7 juta zakat sehingga 23 Dis lepas, hampir mencapai sasaran RM120 juta.

Beliau berkata bagi memudahkan orang ramai membayar zakat, semua kaunter Maidam akan dibuka tujuh hari seminggu, termasuk pada hari cuti mulai 13 Dis, selain menyediakan sebuah kaunter bergerak di ibu pejabat yang beroperasi sehingga 8 malam mulai 31 Dis ini. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.