1,000 Polis Bertugas Sempena Ambang Tahun Baharu Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Seramai 1,000 anggota polis kontinjen Pulau Pinang akan ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai di seluruh negeri sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2014 malam ini untuk menjaga ketenteraman awam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata operasi penugasan khas itu akan disertai oleh semua ketua dari setiap jabatan, balai serta unit melibatkan kawasan yang dijangka menjadi tumpuan ramai antaranya Persiaran Gurney, Padang Kota Lama dan Auto City Juru.

“Dalam kemeriahan orang ramai menyambut tahun baharu, jangan lupa tatasusila dan meraikannya dengan suasana harmoni serta mengikut undang-undang,” katanya.

Polis bersiap siaga menghadapi kemungkinan kumpulan tertentu menganjurkan perhimpunan guling kerajaan di negeri ini, bagaimanapun setakat ini tiada maklumat diterima mengenainya, katanya kepada pemberita pada Majlis Malam Kecemerlangan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata indeks jenayah Pulau Pinang mencatat penurunan sebanyak 5.4 peratus bagi tempoh Januari hingga 29 Nov tahun ini berbanding tempoh sama pada 2012.

Abdul Rahim berkata jenayah jalanan mencatat penurunan sejumlah 1,255 kes atau 54.2 peratus sementara jenayah harta benda menurun sebanyak 550 kes atau 7.8 peratus.

Bagaimanapun jenayah kekerasan mencatat peningkatan sebanyak 104 kes atau 8.1 peratus dalam tempoh yang sama, katanya.

Katanya secara keseluruhan, sebanyak 12,151 kertas siasatan dibuka dan 5,204 atau 42.83 peratus daripadanya telah menjalani pertuduhan di mahkamah.

Beliau berkata kadar penyelesaian kes mencatat sejumlah 4,110 kes atau 52.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 7,864 kes dalam tempoh berkenaan.

Terdahulu dalam majlis itu, sebanyak 126 anggota PDRM negeri, petugas media, pertubuhan bukan kerajaan dan individu perseorangan menerima surat penghargaan Ketua Polis Pulau Pinang atas khidmat cemerlang sepanjang tahun ini. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.