Tingkatkan Capaian Internet Luar Bandar di Kedah

BANDAR BAHARU – Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan capaian internet dalam kalangan penduduk sehingga ke tahap lebih tinggi berbanding sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara usaha diambil adalah menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta untuk memajukan kemudahan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan luar bandar.

“Penduduk negeri ini kini mempunyai kemahiran menggunakan teknologi maklumat yang tinggi. Hal ini kerana kebanyakan rumah sama ada di bandar mahupun luar bandar mempunyai talian internet tetap dan tanpa wayar serta telefon pintar.

“Namun begitu, kita terus berusaha memastikan capaian internet ditingkatkan ke tahap tertinggi.

“Bagi kawasan luar bandar khususnya, kerajaan mewujudkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Pusat Internet 1Malaysia di Felda Gunung Bongsu, dekat sini baru-baru ini.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, antara perkhidmatan yang disediakan di PI1M adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan WiFi bagi capaian penduduk sekitar.

Tambahnya, PI1M juga menyediakan perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan serta aktiviti berkaitan yang dikendali oleh pengurus dan pembantu pengurus. – Utusan Malaysia

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.