Kampung Tembioh Bakal Jadi Medan Ikan Bakar

 

KOTA TINGGI – Kampung Tembioh iaitu perkampungan tradisional Melayu di pinggir bandar di sini bakal dimajukan sebagai pusat tumpuan ekonomi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noorazam Osman berkata, perkampungan yang kini didiami kira-kira 20 keluarga itu perlu ‘keluar’ daripada stigma banjir yang sering melanda kawasan tersebut.

Menurutnya, perkampungan tersebut perlu dibangunkan kerana mempunyai potensi sebagai medan ikan bakar seperti di Muar.

“Saya juga telah berbincang dengan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan wakil rakyat untuk mencari peruntukan atau cara pembiayaan mahupun menerusi penswastaan bagi menjadikan perancangan ini sebagai realiti,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke kampung berkenaan baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Amal Al-Insan Kota Tinggi, Mohd. Zain Arif.

Noorazam berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk membina jambatan gantung bagi menghubungkan kampung tersebut dengan kawasan bandar.

Beliau berkata, dengan pembinaan jambatan gantung itu juga secara tidak langsung dapat membantu penduduk terutamanya nelayan untuk meningkatkan ekonomi mereka.

“Kita juga mahu melaksanakan perkara sama di Kampung Makam agar selain menjadi tempat tumpuan sejarah, kawasan itu juga akan menjadi lokasi pembangunan ekonomi.

“Usaha tersebut bagaimanapun bukan dapat dilakukan dalam sekelip mata. Justeru, saya telah meminta pihak MDKT untuk membuat satu pelan bagi merealisasikan usaha itu,” katanya. – UTUSAN

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.