Petronas Beri Nafas Baharu Bagi Pengeluaran Minyak Dan Gas Malaysia

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kini melaksanakan usaha yang lebih besar untuk memberi nafas baharu terhadap industri minyak dan gas negara.

Langkah berkenaan dilakukan setelah medan minyak Malaysia kini memasuki fasa matang, yang menyaksikan pengeluaran minyak dan gas berkurangan selepas aktiviti cari gali dan pengeluaran yang luas selama lebih 30 tahun.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Petronas, sebagai syarikat minyak negara, telah memulakan kontrak perkongsian risiko (RSC) di medan minyak marginal.

Usaha ini untuk membangunkan sumber-sumber daripada medan minyak kecil dan pada masa yang sama meneroka teknologi pemulihan minyak dipertingkatkan (EOR) untuk meningkatkan pengeluaran dari medan minyak matang.

Naib Presiden Eksekutif (Cari gali dan Perniagaan Pengeluaran) Petronas Datuk Wee Yiaw Hin berkata dianggarkan 50 peratus daripada medan minyak Malaysia yang mengeluarkan hasil mempunyai potensi EOR.

“Daripada jumlah ini, kini terdapat lebih 10 projek EOR dalam perancangan di pelbagai peringkat kematangan, dengan anggaran pelaburan sebanyak US$14 bilion (kira-kira RM46 bilion) yang diperlukan untuk melaksanakan projek-projek EOR,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata projek EOR memerlukan pelaburan yang tinggi dan berintensifkan teknologi dengan banyak risiko yang memerlukan peserta mahir untuk mendapatkan potensi hidrokarbon.

“Kami yakin dengan potensi EOR, yang dijangka dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam jangka sederhana dan jangka panjang. Banyak program akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Wee berkata apabila lembangan Malaysia matang, negara ini dijangka menghadapi cabaran besar untuk mengekalkan pengeluarannya dan Petronas telah menyediakan strategi yang jelas untuk berdepan dengannya.

“Kami telah memulakan program-program yang melibatkan memperluaskan kitaran hayat sumber sedia ada dengan mengoptimumkan aktiviti cari gali, pembangunan dan pengeluaran, yang sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi Malaysia.

“Ini merupakan program jangka panjang yang memerlukan usaha penting yang bukan sahaja daripada Petronas, tetapi juga daripada kontraktor perkongsian risiko dan perkongsian, pelbagai industri perkhidmatan dan kerajaan.

“Kejayaan melaksanakan program-program ini juga memerlukan jumlah pelaburan modal yang tinggi. Program-program ini menunjukkan hasil,” katanya.

Beliau berkata Petronas telah memperuntukkan kira-kira RM1.1 bilion sehingga 2018, bagi cabang Pusat Teknologi E&P untuk membangunkan teknologi inovatif dan boleh dipakai untuk mencergaskan semula medan minyak yang matang dan meningkatkan pengeluaran di medan minyak matang.

“Kawasan ini mempunyai cabaran yang besar dan kompleks dari segi teknikal dan komersil serta inovasi diperlukan untuk menurunkan kos keseluruhan, meningkatkan prestasi teknologi gunaan dan termasuk pembangunan teknologi baharu,” katanya.

Teknologi EOR akan mula dilaksanakan pada medan minyak Tapis, luar pesisir Terengganu dan dijadual memulakan operasi pada separuh pertama tahun ini.

Projek bernilai RM10 bilion ini dijangka meningkatkan pengeluaran Tapis yang berkurangan kepada 25,000 hingga 35,000 tong sehari pada 2016 dan 2017 daripada kira-kira 3,000 hingga 4,000 tong sehari pada masa ini.

Sementara itu, mengenai pembangunan medan minyak marginal, beliau berkata Petronas menganggarkan Malaysia mempunyai kira-kira 106 medan marginal yang mengandungi kira-kira 580 juta tong minyak.

Daripada medan minyak berkenaan, beliau berkata syarikat telah mengenal pasti antara 25 hingga 27 medan minyak yang dirancang untuk diberikan kepada kontraktor RSC untuk pembangunan.

Diperkenalkan pada 2011, RSC, sebagai alternatif kepada kontrak perkongsian pengeluaran (PSC), bertujuan mengimbangi antara perkongsian risiko dan pulangan saksama bagi pembangunan dan dari medan yang telah ditemui.

Di bawah mekanisme itu, beliau berkata peserta khusus akan dianugerahkan kontrak dan mereka pula akan memilih rakan kongsi tempatan yang layak untuk membangunkan kawasan RSC.

“Dalam konteks ini, RSC dijangka memberi manfaat kepada peserta industri minyak dan gas tempatan melalui perkongsian dengan peserta khusus, mendedahkan mereka kepada keupayaan dan teknologi yang boleh membantu dengan jayanya,” katanya.

Setakat ini, Petronas telah menganugerahkan empat RSC dan kejayaan telah dicapai dari beberapa kawasan kontrak, iaitu Medan Berantai yang mencatatkan pengeluaran gas pertama pada Oktober 2012, manakala minyak pertama dari Kluster Balai pada November 2013. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.