Cambridge English Ditugaskan Untuk Menilai Bahasa Inggeris Di Sekolah-Sekolah Di Malaysia

LONDON – Cambridge English telah ditugaskan oleh Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap pembelajaran, pengajaran dan penilaian bahasa Inggeris dari peringkat prasekolah hingga prauniversiti di sekolah-sekolah di Malaysia.

Cambridge English merupakan sebuah organisasi yang pakar dalam penilaian bahasa di United Kingdom (UK).

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Datuk Dr Amin Senin berkata organisasi itu ditugaskan untuk menjalankan kajian tersebut pada Mei tahun lepas dan dijangka menyiapkan kajian itu pada akhir bulan ini.

Organisasi itu dijangka mengemukakan hasil kajian dan mengemukakan syor kepada kerajaan pada April tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berada di UK dalam rangka lawatan tiga hari sejak Isnin, dijadual diberi talkimat mengenai laporan awal projek kajian asas bahasa Inggeris untuk ditanda aras dengan standard antarabangsa untuk sekolah di Malaysia.

Kementerian Pendidikan telah bersetuju menerima cadangan penilaian tersebut oleh Cambridge English pada 8 Mei tahun lepas selepas dikemukakan oleh organisasi itu pada 21 Jan tahun lepas.

Objektif kajian itu ialah untuk memperkasa, menggalak dan membangunkan kerjasama dalam bidang pendidikan bahasa Inggeris bagi memastikan setiap kanak-kanak mahir dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Hasil kajian itu akan membolehkan kementerian meletakkan sasaran realistik dan mampu dicapai untuk pembelajaran dan pengajaran masa depan.

Selain itu ia juga akan menyediakan data asas untuk memantau dan menilai sama ada sasaran masa depan mampu dicapai dan sama ada sebarang rancangan pembaharuan pendidikan berjalan lancar seperti dirancang.

Amin berkata kajian itu akan mengukur kemampuan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam serta kemampuan pengajaran di sekolah.

Kajian itu akan menyemak semula amalan penilaian semasa dengan menganalisis peperiksaan semasa, ujian spesifikasi, skim pemarkahan dan keputusan peperiksaan baru-baru ini.

Kajian semula itu melibatkan akhir zaman persekolahan, penghujung sekolah rendah (Tahun 6), sekolah menengah rendah (Tingkatan 3), Tingkatan 5 dan Tingkatan 6.

Kajian itu juga akan merangkumi analisis kurikulum bahasa Inggeris semasa, panduan pengajaran, bahan pengajaran, peperiksaan semasa dan data peperiksaan terkini.

Ditanya sama ada hasil dan syor Cambridge English itu akan menyebabkan pelarasan utama kepada dasar pendidikan semasa, Amin berkata beliau tidak merasakan begitu. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.