Laporan BNM: Untung Bersih Bank Negara Bagi TK13 Susut Kepada RM5.45 Bilion

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013 (TK13) susut kepada RM5.45 bilion daripada RM5.6 bilion yang dicatatkan bagi tahun kewangan 2012.

Jumlah pendapatan merosot kepada RM6.74 bilion daripada RM6.91 bilion sebelumnya.

Ini terdiri daripada pendapatan daripada pengurusan rizab asing, termasuk faedah dan dividen, pendapatan bukan perbendaharaan dan keuntungan atau kerugian modal terealisasi.

Bank pusat itu juga mengekalkan RM1.5 bilion sebagai jumlah yang dibayar kepada kerajaan persekutuan.

Dalam Laporan Tahun 2013nya, BNM berkata perbelanjaan berulang, terdiri daripada perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran operasi hari ke hari, susut kepada RM1.12 bilion daripada RM1.15 bilion dalam tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perbelanjaan pembangunan, yang dibelanjakan terutamanya untuk membiayai projek-projek pembangunan dan jangka panjang yang dilaksanakannya meningkat kepada RM170.89 juta daripada RM160.85 juta.

Mengenai pengagihan keuntungan, BNM berkata RM3.9 bilion dipindahkan kepada rizab risiko, berbanding RM4.1 bilion pada tahun sebelumnya, untuk mengambil kira keuntungan atau kerugian yang belum direalisasi berikutan perubahan kadar pertukaran mata wang asing dan harga pasaran.

Ia berkata rizab risiko juga digunakan untuk menampung sebarang kemungkinan kerugian pada masa hadapan disebabkan oleh keadaan yang kurang menggalakkan yang di luar kawalan Bank.

Sementara itu, RM56.24 juta telah dipindahkan kepada kumpulan wang rizab am, iaitu lebih tinggi daripada RM326,979 pada 2012, menjadikan keseluruhan rizab am pada 31 Disember berjumlah RM14.42 bilion daripada RM14.36 bilion sebelumnya. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.