#MH370 Hilang: Kehilangan Pesawat Tidak Beri Kesan Terhadapan Keyakinan Penumpang Ke Atas MAS

SINGAPURA – Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) tidak memberi kesan ke atas keyakinan para penumpang udara untuk terbang dengan syarikat penerbangan nasional itu.

Penumpang yang pernah terbang dengan syarikat penerbangan itu berkata mereka masih beranggapan syarikat yang membawa nama baik negara itu sebagai antara syarikat penerbangan terbaik di dunia dari segi keselamatan dan perkhidmatan.

Penumpang berulang syarikat itu mendapati tidak ada sebab untuk berhenti menggunakan MAS hanya disebabkan kes terpencil itu.

“Ia adalah amat dahsyat apabila MAS terpaksa berhadapan dengan situasi ini. Sebagai seorang warga Singapura yang telah terbang bersama MAS berulang kali, saya boleh berkata mungkin sebahagian daripada kapal terbang miliknya sudah lama, namun perkhidmatannya adalah yang terbaik,” kata Katrina Karim, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas syarikat Public Relations Company Privated Ltd kepada Bernama.

Katrina turut menyuarakan rasa simpati beliau kepada anak kapal dan penumpang pesawat itu melalui laman Facebooknya.

“Doa saya adalah bersama mereka sejak dari hari pertama kejadian dan saya juga berdoa untuk kerajaan Malaysia. Saya benar-benar berharap yang terbaik dan berasa sangat senang bahawa kami (Angkatan Bersenjata Singapura) juga membantu Malaysia,” katanya.

Bercakap mengenai usaha kerajaan Malaysia yang tidak pernah mengenal lelah dalam usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER yang hilang itu, Katrina berkata pihak berkuasa Malaysia telah mengendalikan operasi mencari dan menyelamat dengan cara yang terbaik.

“Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (pemangku Menteri Pengangkutan telah membuat kerja yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata kehadiran Hishammuddin pada sidang akhbar harian bersama-sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Group Ahmad Jauhari Yahya membuktikan bahawa kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik untuk mencari pesawat.

Seorang lagi penumpang setia MAS, Celine Tan berkata: “Berdasarkan rekod, saya mendapati bahawa MAS mempunyai rekod prestasi yang amat baik dari segi keselamatan dan perkhidmatan yang baik.”

“Bagi saya, kejadian seperti ini adalah sangat malang tetapi tidak akan menghalang saya daripada menggunakan syarikat penerbangan itu,” katanya.

Tan yang merupakan eksekutif syarikat berharap bahawa pengguna MAS yang lain akan turut mempunyai pemikiran yang positif tentang syarikat penerbangan nasional itu.

Derrick Tee dan Raffiuddin Rosdi pula mengaku mereka suka terbang dengan MASkerana perkhidmatannya yang berkualiti.

Mereka banyak kali menaiki MAS ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dan akan terus berbuat demikian.

Tee dan Rosdi berkata kejadian ini tidak akan menghalang keyakinan mereka ke atas kualiti perkhidmatan dan keselamatan syarikat penerbangan itu.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata ia tidak menjangkakan penurunan dalam pertumbuhan trafik penumpang MAS berikutan kehilangan pesawat itu pada 8 Mac lepas ketika sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang serta 12 anak kapal.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IATA Tony Tyler berkata penerbangan udara masih lagi merupakan industri yang selamat.

“Setakat ini, MAS mempunyai rekod keselamatan yang baik,” katanya.

Usaha mencari oleh 26 negara sedang dibuat melalui carian grid ke grid, tanah serta lautan seluas 2.24 juta batu persegi untuk mengesan pesawat 64 meter panjang yang hilang dari skrin radar. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.