Perkampungan Khas Taman Cahaya Bantu Orang Buta Berdikari

 

SANDAKAN – Pewujudan perkampungan khas Taman Cahaya di sini untuk golongan cacat penglihatan yang mendirikan rumah tangga membolehkan mereka berdikari dan menjalani kehidupan seperti pasangan normal.

Perkampungan khas untuk golongan itu adalah yang pertama di negara ini, mempunyai 11 unit rumah yang dihuni sebelas keluarga sejak empat tahun lepas.

Penyelia Taman Cahaya Ibrahim Abdul Hamid berkata perkampungan itu merupakan inisiatif Taman Cahaya untuk terus memberi bantuan kepada golongan cacat penglihatan yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga.

Katanya keluarga yang tinggal di perkampungan itu merupakan bekas pelatih di pusat latihan Taman Cahaya.

“Kami berbesar hati membantu bekas pelatih pusat ini dengan memberikan rumah untuk mereka diami bersama keluarga agar mereka boleh mengecapi hidup seperti pasangan lain,” katanya kepada Bernama di sini.

Ibrahim berkata perkampungan yang terletak berhampiran pusat latihan Taman Cahaya itu merupakan bekas tapak lama pusat latihan yang dibina pada 1969.

Katanya selepas pusat latihan itu berpindah ke Kompleks Penyayang pada 2010, tapak pusat latihan lama itu yang berasaskan bangunan kayu dijadikan sebagai perkampungan khas golongan cacat penglihatan.

Menurutnya pihak Taman Cahaya terus membantu keperluan bekas pelatih setelah mereka hidup berkeluarga agar kebajikan mereka terpelihara.

“Jika terdapat bekas pelatih yang sakit atau isteri mereka ingin melahirkan anak, adalah tanggungjawab kami menghantar mereka ke hospital dan menghantar mereka pulang setelah semua urusan di hospital selesai.

“Jururawat juga ada datang melawat di kediaman mereka secara berkala untuk memastikan aspek kesihatan mereka tidak terabai,” katanya.

Menurut Ibrahim pada masa sekarang pihaknya dalam proses menaik taraf perkampungan itu kerana bangunan kayu yang diduduki sekarang sudah agak usang tambahan pula tiada bekalan elektrik dan air disediakan.

Katanya mereka telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk membina rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi perkampungan itu.

“Permohonan rumah PPR itu dibuat pada tahun lepas. Saya berharap kerajaan dapat membantu golongan ini mendapatkan kediaman yang lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, dua penghuni perkampungan itu menghargai usaha Taman Cahaya menyediakan kediaman dan penempatan khas itu, bagaimanapun mereka amat berharap agar kemudahan asas dapat disediakan.

Laimin Sagading, 46, tinggal di perkampungan itu sejak 1987 iaitu ketika perkampungan itu masih menjadi Pusat Latihan Taman Cahaya menyifatkan pewujudan perkampungan itu membolehkan dia menjalani hidup berkeluarga seperti orang biasa.

Isteri Laimin tidak cacat penglihatan dan mereka dikurniakan dua anak perempuan berusia lapan bulan dan dua tahun.

Beliau berkata disebabkan rumah kediaman yang ada sudah lama, menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kurang selesa tanpa kemudahan elektrik dan air.

Yusuf Aparal, 50, pula menyifatkan usaha Taman Cahaya mewujudkan perkampungan khas itu membolehkan dia dan keluarganya dapat tinggal di rumah sendiri.

Isteri Yusuf yang juga cacat penglihatan meninggal dunia pada 2009 dan mereka mempunyai enam anak berusia tujuh hingga 20 tahun.

Bagi menyara keluarganya, dia menyertai rakan-rakannya yang juga cacat penglihatan membuka gerai perkhidmatan mengurut kaki di pasar minggu Bandar Kim Fung dekat sini.

Tinjauan Bernama mendapati penghuni perkampungan itu bergantung kepada air hujan yang disimpan dalam tangki untuk kegunaan seharian dan menggunakan lilin serta pelita pada waktu malam. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.