Pasukan Media Ekspedisi Greenland Tawan Gunung Esja

REYKJAVIK 27 April – Pasukan media yang membuat liputan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Felda Greenland 2014 berjaya menawan puncak Gunung Esja di sini tepat pukul 12.20 tengah hari waktu tempatan, semalam.

Mereka yang tidak mahu ketinggalan untuk mencabar ketahanan fizikal dan mental ketika berada di bandar paling sejuk di dunia itu, mengambil masa kira-kira tiga setengah jam untuk tiba di puncak yang diliputi ais itu.

Pasukan itu terdiri daripada wartawan Harian Metro, Hafiz Ithnin; jurugambar New Straits Times Press (NSTP), Rahim Rahmat serta wartawan TV3, Mohd. Junaidi Suboh.

Pendakian itu turut disertai oleh Penyelaras Media KE7B, Hazran Mohamed dan dibantu oleh dua jurulatih ekspedisi ke Greenland yang juga pendaki Everest negara, Muhammad Illaham Ishak dan Siti Hanisah Sharuddin.

Selain sebagai mengisi masa terluang sementara menunggu perkembangan ekspedisi di Greenland, pendakian itu juga merupakan sesi latihan kepada Muhammad Illaham dan Siti Hanisah yang akan mendaki Gunung McKinley di Alaska, Amerika Syarikat pada awal bulan depan dalam misi menyempurnakan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua.

Gunung Esja dengan ketinggian hampir 1,000 meter dari aras laut itu merupakan banjaran gunung berapi yang terletak paling hampir dengan pusat bandar ini iaitu kira-kira 10 kilometer.

Sementara itu, ini merupakan hari ketiga penjelajahan lapan wira harapan negara dalam misi merentasi Greenland iaitu pulau terbesar di dunia dengan 80 peratus permukaannya diliputi ais.

Mereka adalah Muhamad Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25; Yanizam Mohamad Supiah, 29; Abdul Rahman Abu Hassan, 31; Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 25; Mohd. Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad Musaddiq Samsudin, 25, dan Muhd. Hafizuddin Abdul Muthalib, 25.

Bagaimanapun, menurut Presiden KE7B, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, pihaknya belum menerima sebarang panggilan daripada jurupandu arah untuk memaklumkan mengenai perkembangan ekspedisi.

“Pihak kelab masih menunggu panggilan daripada mereka yang sepatutnya dibuat menerusi te­lefon satelit. Buat masa ini, kita harap semua rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuk mereka,” katanya. – Utusan Malaysia

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.