Stadium Felda Lonjak Mutu Sukan

KUALA KRAU – Stadium Felda bernilai RM87.9 juta di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini akan memberi lonjakan berganda terhadap mutu kemajuan sukan, khususnya bola sepak dalam kala­ngan generasi baharu di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, pembinaan stadium itu yang kini di peringkat akhir bakal memberi faedah kepada warga peneroka menonton perlawanan bola sepak, khususnya dalam Liga Malaysia.

Tambahnya, stadium tersebut sekali gus merealisasikan impian penduduk negeri ini, khususnya warga Felda untuk memiliki bangunan itu apabila siap kelak.

Dengan adanya Stadium Felda di Jengka, di samping Stadium Darul Makmur di Kuantan dan Stadium Temerloh mampu memberi sema­ngat baharu kepada orang Pahang untuk melonjakkan mutu sukan terutama bola sepak.

“Peminat bola sepak khususnya di Pahang Barat sudah ada stadium alternatif untuk dikunjungi setiap kali pasukan Pahang atau Felda Uni­ted beraksi,” katanya ketika berucap dalam penutupan Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) peringkat negeri di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang, di sini semalam.

Menurutnya, stadium tersebut mampu memuatkan 25,000 penonton yang membolehkan peminat bola sepak menyaksikan perlawanan sukan itu dengan lebih selesa.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha Jabatan Pendidikan negeri yang menganjurkan kejohanan bola sepak bawah 12, 15 dan 18 tahun bagi mencungkil bakat berprestasi tinggi generasi baharu dalam sukan itu.

“Kejohanan seperti itu dapat me­lahirkan ramai pelapis baharu daripada kalangan rakyat negeri ini untuk meletakkan Pahang sebagai pasukan disegani sepanjang musim,” ujarnya. – Utusan Malaysia

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.