Najib-Hadi: Senario 1 Ramadan Tambat Hati Rakyat

KUALA LUMPUR – Keprihatinan Datuk Seri Najib Tun Razak, menziarahi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN) semalam, memperlihatkan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin akrab tanpa mengenal batas politik, yang seharusnya dicontohi anggota kedua-dua parti.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata silaturrahim dan hubungan baik yang dipamerkan Perdana Menteri dan Abdul Hadi, sangat bertepatan dengan ketibaan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan.

“Jika kedua-dua presiden PAS dan Umno boleh saling berziarah dan bermanis muka, maka para pengikut politik kedua-dua parti harus mencontohi sikap ini.

“Contohi juga Fatah dan Hamas di Palestin yang sanggup berkorban pandangan demi mempertahankan tanah air,” kata penganalisis politik ini kepada Bernama.

Menganggapnya ‘Senario Politik 1 Ramadan yang menambat hati’ banyak pihak, Md Shukri berkata negara amat memerlukan pemimpin yang mempunyai rasa kasih sayang terhadap rakyat dan tidak bersikap prejudis.

Najib dalam catatan laman Twitternya semalam memaklumkan beliau menziarahi Abdul Hadi serta memuatkan sekeping foto beliau bersama bekas Menteri Besar Terengganu itu di IJN.

Abdul Hadi kini menjalani pemeriksaan perubatan susulan di IJN selepas tahap kesihatannya dilaporkan terjejas semasa menghadiri satu persidangan di Turki bulan lepas. – BERNAMA

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.