Mangsa Bot Karam Di Tanjung Piai Yang Dikhuatiri Lemas Belum Ditemui

JOHOR BAHARU – Operasi mencari dan menyelamat pendatang asing tanpa izin yang dikhuatiri lemas selepas bot pancung yang mereka naiki karam di perairan Tanjung Piai, dekat Pontian semalam, gagal menemui mangsa setakat ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 6 Wilayah Selatan Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata operasi hari kedua yang bermula pukul 7 pagi menumpukan pencarian di kawasan pesisir pantai, kawasan bakau sehingga perairan sempadan Singapura dan Indonesia.

“Sebanyak sembilan mangsa masih hilang dan dikhuatiri lemas akibat kejadian berkenaan. Selepas menyiasat dua tekong yang ditahan semalam, kedua-duanya mengaku hanya membawa 70 penumpang dan bukannya 78 penumpang seperti yang dianggarkan semalam,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Aminuddin berkata operasi mencari dan menyelamat berkenaan membabitkan keseluruhan 111 anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dengan sebuah kapal serta 12 bot.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat serta JPAM menggerakkan pencarian di pesisir pantai, kawasan bakau di Pulau Kukup, Tanjung Pelepas dan Tanjung Adang manakala APMM dan Pasukan Polis Marin meluaskan kawasan carian di laluan-laluan kapal di sempadan Singapura dan Indonesia.

Aminuddin berkata operasi setakat ini berjalan dengan lancar memandangkan cuaca yang baik dan operasi akan berterusan sehingga pukul 7 malam ini sebelum disambung esok sekiranya mangsa masih belum ditemui.

Dalam kejadian semalam, 61 pendatang asing tanpa izin termasuk dua tekong selamat, dua maut, manakala sembilan lagi dikhuatiri lemas apabila bot itu karam selepas tersangkut di hadapan bot APMM dalam usaha mengelak daripada ditahan.

Kejadian berlaku pada pukul 11.40 malam pada kedudukan kira-kira tiga batu nautika tenggara Tanjung Piai ketika bot berukuran 15 meter dengan empat enjin berkuasa tinggi itu dalam perjalanan ke Pulau Batam, Indonesia selepas menyusup keluar dari perairan Tanjung Adang di Gelang Patah. – BERNAMA

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.