21 Jalan Di KL Ditutup Sabtu Ini Sempena Larian Energizer Night Race 2014

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 jalan di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat dari 7.30 malam Sabtu ini sempena acara larian Energizer Night Race 2014.

Sementara Jalan Raja, dari Jalan Lebuh Pasar Besar ke Jalan Tun Perak, tempat permulaan larian itu dan jalan utama bagi persediaan larian itu akan ditutup dari 8 malam Jumaat hingga 6 pagi Sabtu, kata Energizer Malaysia dalam kenyataan di sini Isnin.

Perlumbaan itu bertujuan mengumpulkan RM180,000 untuk membina rumah untuk Orang Asli di kawasan luar bandar Semenanjung, akan dianjurkan bersama-sama oleh Energizer Malaysia, Twenty First Century Sports Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, Jalan Kinabalu ke Jalan Tuanku Abdul Rahman akan ditutup sepenuhnya dari 7.30 malam hingga 9 malam bagi acara larian 15km.

“Hanya tiga jalan akan ditutup sebahagian untuk larian 15km iaitu dari Jalan Duta ke Jalan Tunku, Jalan Lenggak Tunku ke Jalan Tun Ismail dan Jalan Tunku ke Jalan Dato Onn dari 8.10 malam hingga 9.54 malam”.

Bagi acara larian 5km, Jalan Raja ke Jalan Cenderawasih akan ditutup sepenuhnya dari 8.20 malam hingga 11 malam, menurutnya.

Pengguna jalan raya dari Kajang dinasihat menggunakan Jalan Loke Yew, Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Ismail jika mahu ke pusat bandar raya.

“Sementara kenderaan dari Lebuhraya Seremban boleh menggunakan Jalan Tun Razak, bulatan Sungai Besi dan Jalan Sultan Ismail.

“Kenderaan dari Setapak ke pusat bandar raya boleh mengggunakan Jalan Tun Razak dan dari Kepong pula boleh menggunakan Jalan Sultan Ismail sebagai laluan alternatif,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berkaitan penutupan jalan boleh didapati di laman web rasmi Energizer Night Race 2014 https://energizer.com.my/nightrace/.

Sebanyak 150 anggota polis trafik dan 50 pegawai penguat kuasa akan ditugaskan mengawal lalu lintas, menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 200 marsyal jalan, 10 marsyal bergerak dan 10 buah ambulans akan ditempatkan di sepanjang laluan larian untuk membantu dan memastikan keselamatan peserta pada hari berkenaan, menurutnya. – BERNAMA

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.