Pembinaan Rumah Kedai Felda Lok Heng Barat Galak Perniagaan

KOTA TINGGI – Usaha menggalakkan minat gene­rasi kedua Felda dalam aktiviti perniagaan adalah antara tumpuan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Lok Heng Barat dan direalisasikan menerusi pembinaan 18 unit rumah kedai yang sedang berjalan di Kampung Felda Lok Heng Barat, dekat sini.

Pengerusinya, Muszaidee Makmor berkata, unit kedai yang dibina dengan kos RM50,000 sebuah itu dijangka siap tidak lama lagi selepas dimulakan kira-kira setahun yang lalu.

“Pembinaan unit rumah kedai ter­sebut juga adalah rentetan daripada kemenangan Felda Lok Heng Barat yang dinobatkan sebagai juara Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF), sekali gus memenangi hadiah RM1 juta.

“Ini adalah insentif buat generasi ke­dua di kampung tersebut kerana kebanyakan mereka mempunyai minat men­dalam untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Muszaidee, pi­hak pengurusan Felda bersetuju untuk memperuntuk tanah bagi pembinaan rumah kedai tersebut yang seterusnya dimajukan belia kampung tersebut.

Ujarnya, maklum balas ya­ng baik diterima daripada generasi kedua Felda Lok Heng Barat dan pihaknya yakin ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi belia di tanah rancang­an tersebut.

“Ini adalah platform dan peluang yang diberi kepada generasi kedua Felda ini untuk menjalankan pelbagai perniagaan yang diceburi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Muszaidee, penempatan generasi ke­dua melibatkan 200 rumah mampu milik akan dibina di Felda Lok Heng Barat dan tender untuk kontrak pembinaan telah dibuka serta kerja dijangka dimulakan pada awal tahun hadapan. – Utusan Malaysia

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.