Brahim’s: Kami Dijadikan ‘Kambing Hitam’ Dalam MAS

KUALA LUMPUR – Syarikat pembekalan makanan kepada Malaysia Airlines (MAS), Brahim’s Holdings Bhd. (BHB) menganggap mereka telah dijadikan ‘kambing hitam’ sebagai pihak yang harus dipersalahkan terhadap prestasi buruk kewangan syarikat penerbangan negara itu.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ibrahim Ahmad Badawi berkata, pihaknya kecewa terhadap perkara tersebut memandangkan tuduhan dibuat tanpa menilai kedudukan sebenar kontrak 25 tahun antara BHB dan MAS.

Katanya, tempoh kontrak yang panjang itu perlu memandangkan sewaktu BHB mengambil alih kepentingan di dalam syarikat pembekalan makanan MAS Catering Sdn. Bhd. pada 2003, mereka telah membelanjakan RM170 juta untuk membeli kepentingan itu selain terpaksa menanggung hutang terkumpul MCSB iaitu RM240 juta, selain terus mencatatkan kerugian RM40 juta setahun.

Menurutnya, ketika itu MAS Catering mencatat kerugian terkumpul sebanyak RM240 juta, dana pemegang saham yang negatif dan menanggung kerugian RM40 juta setahun untuk operasinya serta mewarisi semua ‘lejar tidak seimbang’ syarikat itu.

“Konsesi 25 tahun diperlukan bagi memastikan pembeli mempunyai masa yang cukup untuk mendapatkan kembali pelaburannya, tidak seperti projek lain yang diselamatkan.

“Menerusi penjualan itu, jelas pembeli memerlukan sedikit jaminan kesinambungan perniagaannya. Ia tidak boleh dibandingkan dengan kontrak lain dalam MAS yang secara umumnya akan diperbaharui dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas tamat kontrak,” katanya.

Menurutnya, hasil kerja keras selama 10 tahun, akhirnya menyaksikan kerugian terkumpul MAS Catering sebanyak RM240 juta, berjaya diselesaikan dan mencatat keuntungan operasi dua tahun lepas.

“Kami mengurangkan pembaziran, pekerja dikurangkan sebanyak satu pertiga kepada kurang daripada 1,200, menambah 12 pelanggan baharu dan menambah pengeluaran hampir dua kali ganda,” kata Ibrahim.

“Meskipun MAS membayar membayar kira-kira RM260 juta kepada syarikat itu setiap tahun ke atas perkhidmatan yang diberikan, jumlah itu hanya 1.6 peratus sahaja daripada keseluruhan kos operasi MAS.

“Sumbangan dari segi kos yang tinggi adalah pembayaran gaji dan elaun kakitangan serta bahan api,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini memetik Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah sebagai berkata, isu mengenai pembekalan makanan di dalam pesawat MAS merupakan antara fokus yang mahu diperbaiki, demi memulihkan syarikat penerbangan negara itu.

Awal bulan ini, Khazanah Nasional Bhd. menawarkan mahu mengambil alih saham MAS berjumlah RM1.38 bilion, dan seterusnya akan menyahsenaraikannya daripada Bursa Malaysia. Usaha itu dibuat memandangkan sukar memulihkan kedudukan kewangannya yang terus mencatatkan prestasi yang buruk.

Ibrahim juga memberi reaksi terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beberapa vendor menjalinkan kontrak yang panjang dengan MAS, masih mencatatkan keuntungan meskipun syarikat penerbangan itu terus mengalami kerugian.

Beberapa media menganggap kenyataan Dr. Mahathir itu merujuk kepada BHB, yang dianugerahkan kontrak untuk tempoh 25 tahun bernilai RM6.25 bilion untuk membekalkan makanan kepada MAS.

BHB membekalkan makanan kepada MAS melalui subsidiarinya, Brahim’s Airline Catering Sdn. Bhd. (BAC). BHB mempunyai 70 peratus kepentingan di dalam BAC, manakala bakinya dimiliki oleh MAS sendiri.

Ditanya sama ada BHB bersedia untuk ditamatkan kontrak membekalkan makanan kepada MAS, Ibrahim berkata, pihaknya seboleh-bolehnya mahu terus membekalkan perkhidmatan kepada MAS dan bersedia mengadakan rundingan dengan Khazanah bagi mengurangkan kos yang ditanggung oleh syarikat penerbangan negara itu.

Walaupun BAC memberikan perkhidmatan yang sama kepada 35 syarikat penerbangan yang lain, MAS masih menyumbang 70 peratus kepada pendapatan BAC. Antara syarikat penerbangan yang turut mendapatkan perkhidmatan BAC ialah AirAsia, Cathay Pacific, China Airlines, Japan Airlines, Korean Air, Thai Airways, Emirates Airliness, Garuda, Indian Airlines, Eva Air, Air France dan Pakistan International Airlines.

Kebanyakan syarikat penerbangan selain MAS, hanya menawarkan kontrak sekitar tiga tahun untuk mendapatkan perkhidmatan BAC dengan bayaran antara RM80 juta hingga RM100 juta setahun.

“Malah, kami sering berusaha meningkatkan kecekapan untuk memberi perkhidmatan terbaik. Jika dahulu kami memerlukan 1,700 pekerja untuk menyediakan 30,000 sajian sehari. Kini dengan 1,300 pekerja kami mampu menghasilkan lebih 60,000 sajian sehari,” katanya.

Yang lebih penting, kecekapan meningkat menerusi pelaburan tambahan sebanyak RM57 juta bagi membeli mesin dan peralatan serta sistem kawalan.

Hasilnya, syarikat mencatat keuntungan operasi pada tahun kedua dan menyelesaikan sepenuhnya kerugian terkumpul dan syarikat itu berjaya membayar sejumlah RM121 juta dividen dan rebat kepada pemegang saham sehingga kini.

Ibrahim berkata, Malaysia Airlines terus mengekalkan 30 peratus kepentingan ekuiti dalam MAS Catering yang kini dikenali sebagai Brahim’s Airline Catering Sdn. Bhd. (BAC).

“Malaysia Airlines mengambil bahagian secara aktif dalam keputusan Jawatankuasa Audit Lembaga Pengarah terhadap BAC. Oleh itu keputusan memilih BAC itu tidak boleh dianggap sebagai berat sebelah,” katanya.

Keuntungan konsesi 25 tahun seperti didakwa oleh banyak pihak juga tidak tepat. “Margin bersih kami daripada perniagaan ini hanya antara sembilan hingga 12 peratus setahun, dan pada amnya dalam sektor perkhidmatan makanan, margin yang lebih tinggi bukan sesuatu yang luar biasa walaupun sehingga 20 peratus,” katanya. – Utusan Malaysia

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.