Murid Batal Hasrat Ke India Untuk Duduki Peperiksaan Ulangan UPSR

KUALA LUMPUR – Pelajar Tahun Enam Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) St Joseph di sini, K. Sangeetha membatalkan hasrat menghadiri upacara keagamaan di India minggu ini untuk menduduki semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (USPR).

Sangeetha, 12, yang juga ketua pegawas di sekolah itu tidak melihatnya sebagai satu halangan, sebaliknya berpendapat itu adalah peluang kedua untuk melakukan lebih baik dalam peperiksaan itu.

Beliau perlu menduduki peperiksaan ulangan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi empat mata pelajaran yang bocor, pada esok dan 9 Okt ini.

“Saya juga berterima kasih kepada emak saya K. Mageshwary kerana membuat keputusan menemankan saya di sini, sementara ayah dan tiga adik-beradik akan meneruskan upacara sembahyang itu,” katanya semasa ditemui di sekolahnya di sini Isnin.

Sangeetha berkata beliau berharap akan mendapat keputusan 7A dalam UPSR supaya cita-citanya untuk menjadi doktor kardiologi tercapai.

Sementara itu, pelajar tahun enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jalan Davidson di sini, Yap Ying Pee dan Reynard Lee Kin Yoong ‘melihat’ peperiksaan ulangan itu sebagai ‘masa tambahan’ untuk mengulang kaji.

Yap, 12, berkata beliau lebih yakin untuk mencapai sasaran mendapatkan 7A+ pada UPSR, selepas mendapat dorongan dan motivasi daripada ibu bapa dan guru, khususnya selepas berita kebocoran kertas soalan itu tersebar.

Lee, 12, pula berkata beliau menggunakan ‘peluang kedua itu’ untuk memperbaiki kelemahan dalam subjek Matematik dan juga Sains selain memperbanyakkan latih tubi di rumah dan kelas tambahan.

Rakan sekolahnya K.Sivakumar, 12, berkata beliau kini memasang impian untuk mencapai keputusan semua ‘A’ kerana masih mempunyai masa, memandangkan beliau meletakkan hanya mendapat dua atau tiga ‘A’, terutamanya dalam subjek Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris.

Sementara itu bagi Guru Besar SJKT St Joseph. B.Valarmathi berkata pihak sekolah mengambil pendekatan melakukan pelbagai aktiviti bagi memastikan 25 calon sekolah itu tidak tertekan dengan insiden soalan bocor itu.

Bagi menjamin pelajar tetap bersemangat menghadiri sesi persekolahan, pihak sekolah terus melaksanakan aktiviti yang dirancang selepas UPSR, meskipun peperiksaan ulangan itu bermaksud murid masih terikat dengan jadual peperiksaan, katanya.

“Kami memang telah memberitahu pelajar bahawa mereka akan mendapat peluang melakukan aktiviti mencanting batik selepas UPSR, dan kami lakukannya juga walaupun UPSR masih belum tamat supaya murid seronok,” katanya.

Guru Penolong Kanan Kurikulum Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, Kamarul Ariffin Ishak pula berkata murid sekolah itu tidak mempunyai masalah untuk menduduki peperiksaan ulangan, memandangkan kesemua 110 calon telah melakukan persediaan sejak awal tahun.

“Persediaan rapi untuk menyediakan pusat peperiksaan juga telah dilakukan, termasuk menyediakan bilik kuarantin, jika terdapat pelajar yang jatuh sakit semasa peperiksaan dijalankan,” katanya.

Sebanyak 472,853 calon UPSR tahun ini dijadualkan menduduki peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta kertas Sains 018, 028 dan 038 pada esok, manakala 9 Okt pula ditetapkan sebagai tarikh baharu ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037. – BERNAMA

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.