Kerajaan Negeri Digesa Kaji Kelulusan Lesen Korek Pasir Sungai Pahang

TEMERLOH – Kerajaan Pahang diminta mengkaji semula kelulusan lesen mengorek pasir di Sungai Pahang bagi mengelak berlaku hakisan tanah serta kekurangan sumber ikan.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata beliau menerima banyak aduan khususnya daripada penternak ikan sangkar yang mendakwa ikan peliharaan mereka mati akibat air sungai keruh ekoran aktiviti mengorek pasir tidak terkawal.

“Aktiviti itu bukan sahaja menjejaskan mata pencarian nelayan dan penternak malah air sungai akan terus menjadi kotor dan berminyak akibat tumpahan minyak daripada jentera pengepam pasir,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata akibat daripada aktiviti itu juga, lori yang membawa muatan berpuluh tan pasir turut merosakkan jalan kampung, negeri dan persekutuan sekali gus menyulitkan pengguna jalan raya.

“Contohnya, jalan sepanjang 15 kilometer dari Simpang Rumpun Makmur, Kuala Krau ke Kampung Batu Sawar rosak teruk akibat laluan lori muatan pasir itu. Sebanyak RM15 juta diperlukan bagi membaiki jalan tersebut dan ini membebankan kerajaan sedangkan hasil daripada mengorek pasir itu tidak berbaloi,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail memberi jaminan akan turun padang melihat kawasan terbabit bersama pihak pentadbiran daerah dan wakil rakyat tempatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Tinjauan Bernama pada Khamis mendapati tujuh kapal pengorek pasir ditempatkan di antara jambatan Kuala Krau dan jambatan Temerloh namun dipercayai operasinya belum bermula akibat menerima bantahan penduduk setempat. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.