Golongan Belia Minat Ceburi Keusahawanan Disaran Manfaatkan Program TUBE

KUALA TERENGGANU – Golongan belia yang berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan disaran memanfaatkan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) peringkat Zon Timur yang akan diadakan selama dua minggu mulai 24 November ini.

Pengarah SME Corp Terengganu Muhammad Ibrahim berkata program itu akan memberi pendedahan berhubung keusahawanan dan mereka yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM15,000 dalam bentuk geran.

“Program TUBE ini juga bertindak sebagai platform permulaan kepada belia di Pantai Timur untuk menjalankan apa sahaja jenis perniagaan yang diminati selain mendapat khidmat bimbingan dan nasihat daripada Perunding Perniagaan yang disediakan oleh SME Corp.

“Kita percaya anak-anak muda tidak akan ada alasan lagi untuk tidak berjaya dalam bidang keusahawanan kerana kerajaan secara berterusan menyediakan pelbagai kemudahan untuk menggalakkan ekosistem perniagaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya seramai 157 belia akan menyertai program tersebut yang akan membimbing peserta dari segi mental dan fizikal serta asas-asas keusahawanan.

Muhammad berkata golongan belia yang masih tercari-cari rentak dan tapak untuk meneroka bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama mereka perlu memanfaatkan program TUBE.

Katanya langkah ini membolehkan mereka yang mempunyai idea yang baik, kreatif dan inovatif merebut peluang yang diberikan untuk menterjemahkan impian mereka kepada dunia perniagaan sebenar.

“Ini penting kerana peluang pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta secara relatifnya semakin mengecil dan berkurangan berbanding jumlah graduan yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Ini dikhuatiri boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran di negara kita. Justeru itu, belia dan graduan perlu melihat bidang keusahawanan sebagai alternatif terbaik untuk dijadikan kerjaya pilihan,” katanya.

Program TUBE peringkat Zon Timur itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.