#PAU2014: Kekal Akta Hasutan Mampu Kekang Anasir Gugat Keharmonian Negara – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali melihat keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948 setelah kerajaan mengambil kira keadaan semasa terutama kewujudan media sosial yang menjadi medan mencambah ideologi kebencian antara kaum.

Dulu (pada 2012) mungkin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat akta ini relevan untuk dimansuhkan, tetapi dalam tempoh dua tahun ini, pelbagai tohmahan muncul terutama melalui Internet termasuk penghinaan terhadap agama yang membuatkan beliau terpaksa menarik balik perkara itu, katanya.

Beliau berkata pemansuhan Akta Hasutan juga dibimbangi akan menggalakkan pihak tidak bertanggungjawab bebas untuk mempertikai empat perkara utama berkaitan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu ialah kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), Kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152) dan Hak-Hak Kewarganegaraan (Bahagian III).

Pengekalan akta itu juga wajar untuk mengekang anasir yang cuba menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini, katanya.

“Banyak pihak salah tafsir…akta ini berbentuk pencegahan dengan tujuan utama sejak dahulu lagi adalah untuk memupuk perpaduan dan memelihara keamanan negara tanpa mengira pihak mana yang memerintah.

“Akta ini bukan untuk mengekalkan kuasa mana-mana parti politik dan tidak kira siapa sahaja yang memerintah, akta ini mesti dikekalkan,” tegas Dr Mohd Fuad ketika dihubungi Bernama, di sini Jumaat.

Khamis, perdana menteri mengumumkan Akta Hasutan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata keputusan memasukkan dua peruntukan khas mengenai agama serta Sabah dan Sarawak, tepat pada masanya untuk mengukuhkan akta berkenaan.

“Saya kira penambahbaikan dengan memasukkan kedua-dua perkara itu adalah sangat relevan dan perlu memandangkan keadaan semasa yang sangat membimbangkan,” jelasnya.

Dr Marthada berkata langkah itu dapat mencegah mana-mana pihak, tidak kira beragama Islam atau agama lain, daripada menghina sesama sendiri sehingga mencetuskan api kebencian.

Cubaan menghasut Sabah dan Sarawak untuk keluar daripada Malaysia pula adalah ancaman serius kepada kestabilan dan keselamatan negara, katanya. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.