#PAU2014: Usia Emas Tidak Halang Siti Rahmah Hadir Ke Perhimpunan

KUALA LUMPUR – Walaupun langkahnya agak perlahan, berjalan sedikit bongkok dek usia emas, namun itu bukan penghalang veteran Umno, Datuk Siti Rahmah Kassim hadir ke Perhimpunan Agung Umno 2014 yang memasuki hari kedua, pada Jumaat.

Kehadiran Siti Rahmah, 89, ke Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini diumum Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin dan semua perwakilan yang hadir terus berdiri sebagai tanda hormat.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin tertinggi parti beredar dari kerusi masing-masing di atas pentas untuk bertemu dan bersalaman dengan Siti Rahmah.

Malah, Badruddin turut turun meninggalkan tempat duduk beliau setelah menyatakan mahu bersalaman dan mencium tangan srikandi Umno itu.

Siti Rahmah adalah orang pertama memberi sumbangan kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan menyerahkan gelang emas kesayangannya bagi menaja perjalanan presiden Umno kedua itu ke London dalam misi menuntut kemerdekaan negara.

Siti Rahmah menceburi politik seawal usia 19 tahun dan merupakan wanita pertama bertanding dalam pilihan raya pada 1959 dan memenangi kerusi Dewan Undangan negeri Terentang di Negeri Sembilan selama dua penggal sebelum bersara sebagai wakil rakyat pada tahun 1964. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.