Generasi Baharu Felda Perlu Teroka Bidang Ekonomi Baharu – Razali

PUTRAJAYA – Generasi baharu Felda perlu menjunjung semangat kepenerokaan seperti generasi pertama dalam meneroka bidang ekonomi baharu yang bersesuaian dengan perubahan masa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Katanya penerokaan dalam bidang ekonomi baharu adalah penting kerana generasi baharu Felda kini tidak lagi boleh bersandarkan kepada aktiviti meneroka kawasan hutan seperti yang dilakukan generasi pertama Felda 58 tahun dulu.

“Kita tidak boleh lagi memberi tanah kepada generasi baharu Felda untuk diteroka. Jadi cara baharu perlu diperkenalkan dari semasa ke semasa untuk menjaga kepentingan dan ekonomi generasi baharu Felda,” katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan Konvensyen Generasi Baharu Felda 2014 bertemakan “Meneroka Potensi, Mendaya Pembangunan Bangsa” di sini pada Jumaat.

Katanya Felda juga akan terus merangka hala tuju baharu yang sesuai dengan perubahan masa untuk mengembangkan ekonomi generasi baharu Felda.

Razali berkata semangat warga peneroka awal Felda yang kental, tekun, gigih, rajin, cekal, tabah dan segala macam sifat baik dan terpuji itu perlu menjadi amalan generasi baharu.

“Dengan memiliki semua sifat positif ini barulah generasi baharu Felda menjadi generasi yang berwawasan dan bersedia untuk melakukan transformasi dan inovasi,” tambah beliau.

Katanya penekanan Felda kini adalah pada pengisian dalam pencapaian fizikal dan material supaya ia mempunyai ‘roh kepenerokaan’.

Antara topik perbincangan konvensyen tahunan itu ialah proses transformasi Felda melalui Felda Golden Protocol 2056, pemerkasaan sosial dan komuniti generasi baharu Felda serta Felda sebagai gedung kuasa ekonomi dan politik.

Lebih 500 belia, yang juga generasi baharu Felda, dari 11 wilayah Felda di seluruh negara menyertai konvensyen dua hari berkenaan yang bermula hari ini. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.