Tonjol Persamaan, Rai Kepelbagaian Untuk Suburkan Perpaduan – Najib

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat Malaysia supaya sentiasa menyuburkan semangat perpaduan dengan menonjolkan persamaan dan meraikan kepelbagaian yang ada.

Beliau turut mengajak rakyat bersama-sama memacu pembangunan negara berbekalkan perpaduan yang sedia terjalin selama ini.

“Bersamalah kita membina negara ini dengan sikap berlapang dada atas nama perpaduan, mengambil yang jernih dan meninggalkan segala kekeruhan,” katanya dalam Perutusan Perdana Menteri Sempena Maulidur Rasul 1436 Hijrah yang dimuat naik di laman web www.najibrazak.com Jumaat.

Dalam meninggikan syiar Islam di Malaysia, Najib berkata umat Islam perlu menjadikan perjuangan memperteguhkan iman dan syariat Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW sebagai agenda utama dalam kehidupan seharian.

Di peringkat kerajaan, Najib berkata komitmen itu dibuktikan dengan pembangunan Indeks Syariah yang akan menjadi pengukur komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar yang berlandaskan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor.

“Inisiatif ini diharap menjadikan tadbir urus kerajaan lebih menghampiri amalan dan sunnah Rasulullah SAW dalam usaha kita mengisi tuntutan bagi menghidupkan syariat Islam itu sendiri.

“Natijahnya akan lahirlah negara dan masyarakatnya yang seimbang serta cemerlang dalam aspek kemajuan, penguasaan pengetahuan dan kemahiran yang pada masa sama berakhlak mulia dan berjati diri unggul sebagai warga negara Malaysia,” kata Najib.

Beliau juga berharap usaha mengaplikasikan Islam dalam pentadbiran negara dapat membangunkan Malaysia yang lebih makmur dan diberkati.

“Semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini terus membangkitkan keghairahan dan mengupayakan kita untuk mencontohi akhlak serta mengamalkan sunnah Baginda, agar berjaya di dunia dan di akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengajak rakyat Malaysia menghiasi diri dengan sifat sabar dan reda khususnya dalam menghadapi banjir yang agak luar biasa.

Beliau berharap usaha yang dilakukan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa yang terjejas dengan musibah itu.

“Dan pada masa yang sama kita terus bersolat hajat dan berdoa agar negara kita sentiasa di bawah kerahmatan Allah SWT,” kata Najib. – BERNAMA

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.