Bagi merealisasikan impian itu, The Fighters perlu memenangi sekurang-kurangnya satu piala sama ada Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia.

Pengerusi Felda yang juga Penaung Kelab Bola Sepak Felda United, Tan Sri Mohd. Isa Samad berkata, sasaran itu dibuat selepas mengambil kira prestasi cemerlang yang ditunjukkan pasukan itu sepanjang musim lalu.

“Sekiranya layak, Felda United bukan sahaja akan mewakili Felda malah mewakili Malaysia dan secara tidak langsung membantu Felda dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya pada sesi memperkenalkan pemain dan jersi baharu Felda United di Institut Semarak Felda, Bangi dekat sini kelmarin.

Dua pemain veteran, Shukor Adan dan Indra Putra Mahyuddin antara muka lama yang dikekalkan selain Mohd. Farizal Harun, Mohd. Fairul Azwan Shahrullai, Mohd. Nasriq Baharom, Hasnizaidi Jamian dan Shahrulnizam Mustapa.

Mereka turut diperkasakan oleh pemain dari Serbia, Bojan Miladinovic yang akan beraksi bersama Zah Rahan Krangar, Edward Junior Wilson dan Makeche Ndumba.

Felda turut diperkuatkan muka-muka baharu iaitu Mohd. Firdaus Mohd. Faudzi (Sime Darby), Mohamad Rashid Mohamed Aya (Sarawak), Mohd. Fauzan Dzulkifli (PKNS), Mohamad Zamri Ramli (FUFC Bawah 23) dan Shahrul Mohd. Saad (Harimau Muda A).

Sementara itu, pengendali The Fighters, Irfan Bakti Abu Salim memberitahu, skuadnya sudah bersedia untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan dan percaya anak-anak buahnya mampu merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Katanya, selepas mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan di Dubai baru-baru ini, para pemain beraksi dengan cukup baik dan kesemua mereka menyerlahkan potensi sebenar yang dimiliki.

“Bola ada di kaki kami, The Fighters akan berjuang dan meneruskan misi memburu satu piala musim ini,” katanya.

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com