Dua Maut Kereta Terbabas Di Felda Jerangau Barat

HULU TERENGGANU – Dua maut termasuk seorang bayi lelaki dianggarkan berusia setahun, manakala dua cedera parah dan dua lagi cedera ringan dalam satu kemalangan babitkan dua kereta di Kilometer 384.2 LPT2 Bukit Besi-Ajil (Felda Jerangau Barat) di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa maut ialah penumpang Honda Civic iaitu Zill Amsyar Mohd Zikrullah, 1, dan Mohd Shahrul Faizan Mat Yusof, 24, beralamat di Kampung Belaoh, Jertih, Besut.

Manakala, dua yang cedera parah ialah pemandu kenderaan berkenaan, Mohd Zikrillah Mohd Rawi, 26, beralamat di Kampung Gong Datuk, Pasir Puteh Kelantan dan seorang lagi penumpang, Yusnaidi Zulkifli, 20, dari Kampung Belaoh, Jertih, Besut.

Sementara itu, mangsa yang alami cedera ringan ialah pemandu dan penumpang Proton Putra iaitu Md Zamzuri Abdullah beralamat di Maras, Kuala Terengganu serta Ahmad Yusri Abdullah, 24, berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu,  Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, siasatan awal mendapati Honda Civic dipandu Mohd Zikrillah bersama tiga penumpang yang datang dari Kuantan menghala ke Kelantan dipercayai terbabas secara tiba-tiba.

“Berikutan itu, kereta berkenaan yang terbabas ke kiri jalan telah melanggar besi pengadang jalan  sebelah kiri sebelum berpusing beberapa kali di tengah jalan.

“Pada masa itu, Proton Putra dipandu Md Zamzuri telah terlanggar kereta terbabit,” katanya.

Daripada maklumat diperoleh juga, Proton Putra dinaiki bersama seorang penumpang itu dalam perjalanan dari Johor Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

Pangku mayat bayi

Sebelum kejadian, kereta tersebut berada di lorong kanan jalan, manakala Honda Civic di sebelah kiri jalan.

“Salah seorang mangsa iaitu bayi lelaki maut di tempat kejadian setelah dipercayai tercampak keluar dari kenderaan, manakala mangsa kedua, Mohd Shahrul Faizan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

“Bedah siasat sedang diusahakan. Maklumat lanjut juga masih dalam siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi kejadian cukup mengharukan apabila pengguna lebuh raya bergilir-gilir memangku mayat bayi berkenaan selain turut memayunginya sementara tunggu pihak yang berkaitan tiba.

Malah, lalu lintas dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil juga turut sesak serta bergerak perlahan namun berjaya  dikawal peronda LPT serta pihak polis terutamanya dari Cawangan Trafik IPD Hulu Terengganu dengan dibantu IPD Dungun.

Enjin kereta tercabut

Sementara itu, salah seorang orang awam yang terawal tiba di lokasi kejadian iaitu Syed Fazril Tuan Razak, 26, dari Felda Jerangau Barat berkata ketika tiba di lokasi kejadian dia melihat empat mangsa terbaring di tiga lokasi berasingan.

Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama rakannya dalam perjalanan pulang melalui jalan di Felda Jerangau Barat daripada memancing di sungai dan terdengar bunyi riuh di lebuh raya lalu mengambil keputusan untuk melihat keadaan sebenar.

“Saya benar-benar terkejut kerana kemalangan yang berlaku menyebabkan seorang mangsa terbaring atas lebuh raya, seorang di atas tebing dan dua orang lagi termasuk seorang bayi lelaki terjatuh dalam gaung.

“Malah, kedua-dua enjin kereta kenderaan terlibat juga tercabut. Walaupun kemalangan tidak berlaku di hadapan mata tetapi saya dan rakan antara yang terawal berada di lokasi serta turut membantu mangsa apa yang sepatutnya.

“Ketika itu, bayi berkenaan sudahpun tidak bergerak manakala tiga yang lain berdarah serta mengerang kesakitan,” katanya.

Kata Syed Fazril, mulanya ada seorang wanita memangku kanak-kanak tersebut sebelum diserahkan kepada seorang lelaki kerana dia ingin teruskan perjalanan.

“Tidak lama kemudian mayat bayi tersebut diserahkan kepada saya untuk dipangku.

“Saya dan pengguna jalan raya lain bergilir memangku bayi ini sementara tunggu ketibaan pihak berkenaan,” ujarnya. – SINAR HARIAN

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.