Penderaan Seksual, Bekas Pengurus Tegar Ditahan

PETALING JAYA: Bekas pengurus penyanyi remaja Tegar Septian iaitu Arif Dollah telah ditahan oleh pihak berkuasa Singapura susulan laporan penderaan seksual yang dilakukan terhadap artis dari Indonesia itu.

Berita Harian Singapura pada Rabu melaporkan, penangkapan itu telah disahkan oleh pihak polis selepas mereka menerima dua laporan dan seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditangkap.

Laporan itu menyebut, siasatan terhadap suspek yang juga rakyat Singapura telah dilakukan oleh pihak polis negara itu pada petang Rabu.

Bekas pengurus berkenaan didakwa melakukan penderaan seksual terhadap Tegar, 13, yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang sejak menguruskan penyanyi berkenaan.

mStar Default Image

Tegar (kiri) bersama bekas pengurusnya Arif. Gambar: Berita Harian Singapura.

Tegar sebelum ini dilaporkan telah membuat laporan serupa kepada badan yang melindungi hak kanak-kanak di Indoensia.

Dalam pada itu wakil Tegar di Singapura iaitu Ali Majid, 22, yang dihubungi mStar Onlinepada Rabu berkata, remaja itu telah mengadakan sidang media dengan wartawan Singapura pada Rabu bagi menjelaskan isu itu.

Katanya, Tegar telah membuat laporan polis di Cantonment Complex Singapura pada pukul 5 petang Selasa.

Ujarnya, laporan berkenaan lambat dilakukan sedangkan kes berkenaan dikatakan sudah berlaku agak lama kerana pihaknya perlu menguruskan pasport Tegar yang hilang.

“Selepas kejadian berkenaan Tegar tidak lagi mempunyai pengurus dan dia akan ditemani ayah atau ibu serta wakil syarikat rakamannya untuk menjalankan segala aktiviti seni,” katanya.

Usaha mStar Online untuk bercakap dengan Tegar gagal kerana kanak-kanak itu sedang tidur ketika panggilan telefon dilakukan.

Terdahulu Tegar dalam satu sidang media di Istana Budaya pada pertengahan Mac lalu mendedahkan selama ini dia berdiam diri terhadap perbuatan buruk pengurusnya itu kerana berasa malu.

Selain itu, Tegar mendakwa Arif pernah menemaninya mandi selain dengan sengaja merapatkan tubuhnya sehingga kemaluannya terkena di bahagian dubur Tegar.

Bagaimanapun, Ariff dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Tegar berkata, dia mendapat keberanian untuk bersuara selepas bertemu dengan bekas anak tiri Arif yang dikenali sebagai Sufie Rashid yang turut mendakwa pernah menjadi mangsa suspek. – MSTAR ONLINE

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.