Felda Perluas Program ‘Apa Khabar’ Jalin Hubungan Rapat Dengan Peneroka

KLUANG – Felda akan memperluaskan program ‘Apa Khabar’ sebagai usaha menjalin hubungan rapat dengan peneroka, kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata program yang diatur Komuniti Felda itu dilihat turut dapat membantu Felda menyelami masalah dihadapi setiap peneroka.

“Menerusi program turun padang ini, kita bukan hanya dapat merapatkan hubungan antara peneroka dengan Felda malah peneroka sesama peneroka.

“Kita juga membuka kaunter aduan di program ini bagi memudahkan peneroka mengemukakan masalah mereka secara terus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Apa Khabar bersama penduduk Felda Ulu Dengar, di sini, hari ini.

Beliau berkata aduan yang diterima kemudian akan dianalisis bagi diselesaikan dalam jangka pendek dan panjang.

Mohd Isa berkata program di Felda Ulu Dengar merupakan perintis dan program sama akan diadakan seterusnya di Felda Keratong 3, Pahang sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata Felda akan terus menganjurkan sesi penerangan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) supaya masyarakat Felda memahami pelaksanaan kerajaan itu.

Beliau berkata pemahaman mengenai CBP amat penting bagi memastikan masyarakat Felda tidak terkeliru ataupun dimanipulasi pihak tertentu.

“Secara umumnya, CBP tidak menjejaskan masyarakat Felda, namun yang penting mereka kena faham mengenainya. Kalau kita tahu barang apa yang tidak dikenakan cukai, sudah tentu kita tidak akan ditipu,” katanya. – BERNAMA

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.