Kes GST: Pensyarah Dibebas Dengan Jaminan Mahkamah

SHAH ALAM: Seorang pensyarah sebuah universiti awam yang sepatutnya direman bagi siasatan berhubung kesalahan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hari ini dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Syajaratudur Abd Rahman memutuskan perkara itu atas alasan pensyarah berusia 34 tahun itu tidak akan melarikan diri berikutan mempunyai komitmen terhadap tugasnya di universiti berkenaan.

Pegawai Penyiasat Penguasa Kastam Diraja Malaysia Abdul Hadi Ismail berkata pensyarah itu, suami kepada pemilik sebuah restoran di Setia Alam yang ditahan di restoran itu tengah hari semalam, dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman tetapi ditolak.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa suspek adalah individu pertama di Selangor ditahan bagi kesalahan berkaitan GST.

Abdul Hadi berkata pensyarah berkenaan disiasat bagi kesalahan tidak mengeluarkan butiran yang ditetapkan di bawah pelaksanaan cukai itu antaranya resit tiada tanda ID GST.

Abdul Hadi berkata lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 33 (2)(b) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 96 Akta sama iaitu denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

“Semasa tangkapan dibuat pensyarah berkenaan berada di restoran itu manakala isterinya tiada di premis berkenaan.

“Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan mahkamah kami akan bawa pensyarah itu ke ibu pejabat untuk siasatan lanjut,” katanya. – BERITA HARIAN

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.