Generasi Baharu FELDA Diingatkan Jangan Abai Tanah Pusaka

BENTONG – Anak peneroka Felda Lurah Bilut diingatkan agar tidak mengabaikan tanah pusaka tinggalan ibu bapa mereka meski pun sudah tidak menetap di tanah rancangan terbabit.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Yip Seng Lam berkata, ada antara anak peneroka khususnya dalam kalangan kaum Cina yang hanya pulang ke kampung untuk mengutip hasil.

“Rumah yang ditinggalkan kelihatan terbiar tanpa pengurusan sekali gus membuatkan imej tanah rancangan ini sedikit tercemar. Sekiranya tidak mahu menetap, sekurang-kurangnya mereka datang untuk membersihkan kawasan rumah mereka itu supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak terbiar,” katanya.

Beliau juga berkata, Felda Lurah Bilut merupakan sebuah tanah rancangan di mana penerokanya terdiri dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India.

“Di awal pembukaan tanah rancangan ini dahulu terdapat ramai kaum Cina yang menetap di tanah rancangan ini, namun jumlahnya semakin berkurangan berikutan ada antara peneroka asal yang mahu pulang ke kampung halaman mereka, selain ada yang telah meninggal dunia.

“Apabila sudah meninggal dunia, anak-anak pula mewarisi tanah peninggal ibu bapa mereka namun kebanyakan anak-anak sudah tidak mahu menetap dalam rancangan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap agar pelbagai kaum di tanah rancangan ini dapat meneruskan hidup secara bermuafakat dan saling bantu-membantu tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Saya sendiri walaupun berbeza bangsa dan agama, namun saya mahu bergiat aktif dalam masyarakat dengan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Walaupun, masih belum dapat menggunakan Bahasa Melayu dengan baik, saya tidak segan silu minta rakan Melayu saya mengajar saya membaiki penggunaan Bahasa Melayu saya,” katanya ramah.

Beliau juga berkata, hidup dalam masyarakat berbilang kaum seharusnya tidak menjadikan bangsa dan agama sebagai penghalang untuk mereka merapatkan hubungan.

“Saya berbangga hidup dalam komuniti Felda Lurah Bilut kerana diberi kepercayaan menyandang pelbagai jawatan dalam tanah rancangan ini bersama-sama komuniti Melayu yang lain.

“Saya juga turut diberi kepercayaan untuk menjadi wakil tanah rancangan ini sebagai penerima replika cek durian runtuh disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pertengahan tahun lalu.

“Kepercayaan yang diberikan sekali gus membuatkan saya tekad untuk menyatukan pelbagai kaum yang ada dalam tanah rancangan ini agar kami dapat terus hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya. – SINAR HARIAN

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.