Pasangan Dari FELDA Bukit Rokan Tabah Jaga Mertua Terlantar

GEMENCHEH – “Tak pernah saya anggap ayah mertua saya yang kini terlantar sakit sebagai beban dan saya rela menjaganya sampai bila-bila selagi saya diberikan tanggungjawab ini,” tegas Mohd Sharif Burok, 61, kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sharif berkata, dia dan isterinya, Raesah Aziz, 57, mula membawa Aziz Awang, 81, tinggal bersama mereka di Felda Bukit Rokan Utara pada bulan November tahun lalu selepas mentuanya itu terjatuh di dalam bilik air dan diserang strok.

Menurutnya, sebelum insiden terjatuh di dalam bilik air berkenaan, mentuanya itu terlebih dahulu koma selama 10 hari selepas dilanggar motosikal ketika baru sahaja keluar dari rumah di Kampung Koi, Jerantut, Pahang, untuk pergi menunaikan solat Jumaat pada bulan Mac tahun lalu.

“Selepas tersedar dari koma, ayah mampu berjalan menggunakan tongkat sehinggalah hari dia terjatuh di dalam bilik air di rumahnya dan mujurlah semasa kejadian saya berada di situ mengakibatkan bahagian kanan badannya lumpuh.

“Kini, ayah hanya terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada susu khas sebagai makanan harian yang disalurkan melalui tiub.  Malah, ayah juga memakai lampin pakai buang,” luahnya selepas Penyampaian Sumbangan Katil Khas Pertubuhan Kebajikan Dato’ Taha Mukim Gemencheh di FBRU, di sini.

Sharif yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Rokan Utara berkata, walaupun terpaksa memperuntukkan kira-kira RM800 bagi keperluan mentuanya, dia menganggap kos perbelanjaan berkenaan tidak setanding dengan pengorbanan ayah mentuanya sebelum ini.

“Sekitar awal tahun 1970-an, saya yang merantau ke Jerantut dengan bekerja di ladang bertemu dengan ayah dan saya dijadikan sebagai anak angkat kerana ayah kandung saya sudah meninggal akibat sakit tua pada 1980-an.

“Saya sudah menganggap ayah mentua saya ini sebagai ayah sendiri dan sanggup menjaganya walau saya sedar kos perbelanjaan ayah agak banyak,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Dato’ Taha Mukim Gemencheh dan wakil rakyat setempat kerana membantu meringankan beban dengan menyampaikan sumbangan bagi keselesaan mentuanya.

“Ayah hanya menggunakan katil biasa sahaja dan dia berhadapan masalah untuk meninggikan bahagian-bahagian tertentu anggota badannya serta terpaksa menggunakan bantal.

“Bimbang juga ayah tidak selesa lebih-lebih lagi pertuturan ayah yang sukar difahami selepas diserang strok,” katanya. – SINAR HARIAN

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.