MSM Sasar Kuasai Pasaran Gula 2 Negara

KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) menyasarkan untuk menguasai pasaran gula pertengahan bagi Singapura dan kekal menjadi peneraju di Malaysia melalui pembukaan kilang penapisan gula terbaru di Tanjung Langsat, Johor yang dijangka beroperasi menjelang pertengahan 2017.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sheikh Awab Sheikh Abod berkata, pembinaan kilang itu akan menjadi faktor utama bagi pertumbuhan pasaran di masa depan dengan sasaran kapasiti pengeluaran 3.25 juta tan setahun berbanding 1.1 juta tan pada masa ini.

“Kami yakin mampu menguasai pasaran di kedua-dua negara itu menjelang 2018 dengan pembinaan kilang baru ini akan bermula Ogos tahun ini sebelum siap dalam tempoh 20 hingga 22 bulan akan datang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan MSM di sini, semalam.

MSM menguasai 64 peratus pasaran gula pertengahan di Malaysia bagi suku pertama tahun ini berbanding 57 peratus bagi tempoh masa sama tahun lalu dan syarikat ini turut menguasai 18 hingga 20 peratus di Singapura pada masa ini.

Beliau berkata, MSM berhasrat mempelbagaikan perniagaannya terutama dalam segmen huluan menjelang separuh pertama tahun depan bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada segmen pertengahan pada masa ini.

Menurutnya, segmen huluan dan hiliran dijangka menyumbang 30 peratus kepada keuntungan syarikat manakala segmen pertengahan 40 peratus pada masa akan datang.

“Untuk segmen pasaran huluan, kami mengadakan perbincangan lanjut bersama dua syarikat berpangkalan di Indonesia selain berhasrat membabitkan diri dalam setiap syarikat berasaskan gula sama ada tempatan dan antarabangsa bagi segmen hiliran.

“Kami tidak mahu berada dalam keadaan selesa dan merancang beberapa pelan pada tahun ini dan tahun depan bagi mempelbagaikan sumber pendapatan serta memastikan pertumbuhan perniagaan kekal kukuh pada masa hadapan,” katanya.  – myMetro

 

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.