FGV Bekerjasama Dengan 2 Firma Teroka Pasaran Minyak Khusus, Berasaskan Sawit Vietnam

HO CHI MINH CITY – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), telah bekerjasama dengan Kinh Do Corp (KDC) dan penyedia penyelesaian logistik serantau, Indo Trans Logistics Corp (ITL), kedua-duanya firma Vietnam, untuk menembusi pasaran pengguna minyak khusus dan berasaskan sawit negara itu.

Ketua Kelompok Hiliran Sawit FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, FGV dan syarikat terbabit hari ini menandatangani memorandum penerokaan perniagaan (MOBE) untuk meneroka pembentukan syarikat usaha sama ((JV) baharu.

Syarikat JV itu, katanya, akan memberi tumpuan kepada pengeluaran, jualan, pemasaran dan pengedaran minyak khusus dan barangan pakej pengguna berasaskan sawit untuk pasaran Vietnam.

“Ketiga-tiga pihak akan mengadakan perbincangan dalam tempoh enam bulan akan datang untuk mengenal pasti strategi untuk menguasai pasaran minyak berpakej pengguna,” kata Zakaria dalam ucaptama ketika majlis menandatangani memorandum itu, di sini Khamis.

Usaha sama ini, kata Zakaria, akan meluaskan pengembangan FGV ke pasaran Indochina untuk produk pengguna selepas Thailand, Myanmar, Laos dan Kemboja.

“Dengan memanfaatkan kekukuhan KDC dan ITL, perkongsian strategik itu mempunyai potensi besar untuk mencatat kedudukan utama dalam pasaran ini,” katanya.

Beliau berkata, KDC adalah rakan kongsi yang tepat untuk bekerjasama, sebagai peneraju dalam industri konfeksi dan juga syarikat makanan terkemuka di Vietnam manakala ITL mempunyai kekukuhan dalam penyelesaian logistik bersepadu.

Zakaria memberitahu Bernama, FGV akan menjadi pembekal minyak sawit mentah dan pelbagai produk pengguna, termasuk minyak masak, lemak khusus dan marjerin daripada kemudahan pengeluaran di Malaysia manakala KDC akan memberi tumpuan kepada pemasaran dan penapisan serta ITL ke atas logistik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDC Group, Tran Le Nguyen berkata, selepas melancarkan produk minyak masak dengan jenama Dai Gia Dinh An Hao pada akhir Mei lepas, MOBE dengan FGV dan ITL adalah langkah KDC seterusnya untuk menembusi industri minyak masak.

“Dengan usaha sama baharu ini, KDC merancang untuk mempelbagai portfolio produk, meningkatkan bekalan, kualiti produk dan menghasilkan produk yang lebih baik dengan harga lebih murah kepada pengguna Vietnam,” kata Tran.

Pengarah Urusan ITL, Tran Tuan Anh berkata, syarikat itu akan menyokong kerjasama ini dengan akses kepada rangkaian penyimpanan, pengangkutan dan pengedarannya yang luas di seluruh Vietnam. – BERNAMA

 

KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.