Kerajaan Negeri Johor Peruntuk RM2 Juta Biaya 319 Bakal Haji

JOHOR BAHARU – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM2 juta bagi membiayai 319 orang bakal haji rombongan kerajaan negeri tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perbelanjaan tambang seorang bakal haji yang layak dan memenuhi syarat itu adalah sebanyak RM6,040.

mb johor

“Selain itu, dua orang pembimbing haji yang dipilih Jabatan Agama Islam Negeri Johor juga akan ditanggung tambang, makan minum serta penginapan yang melibatkan kos RM17,270,” katanya pada majlis meraikan bakal haji rombongan kerajaan Johor, di sini Ahad.

Mohamed Khaled pada majlis itu turut berpesan kepada semua bakal haji supaya menjaga keselamatan dan kesihatan semasa berada di Tanah Suci.

Beliau turut meminta bakal haji supaya menjalani ibadah dengan penuh penghayatan bagi memperoleh haji mabrur selain mendoakan tanah air.

“Dengarlah taklimat dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh petugas Tabung Haji. Jangan berebut-rebut, kawal tingkah laku serta tutur kata sepanjang di Tanah Haram,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.