Mayat Mangsa Lemas Di Sg Pahang Jerantut Feri Ditemui

JERANTUT – Mayat seorang penternak ikan sangkar yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam sungai di Kampung Jerantut Feri, di sini, Khamis lalu ditemui terdampar di tebing pasir berhampiran Kampung Pulau Tawar, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata mayat Mohd Amirul Mohd Aspar, 25, ditemui kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian pada 4.50 petang semalam.

“Mayat dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 6.45 petang Khamis lalu, mangsa dilaporkan ke sungai berkenaan bersama seorang rakannya sebelum berenang menyeberang ke kawasan Pulau Dedari terletak berhampiran untuk bersama sekumpulan lagi rakannya di situ sebelum tiba-tiba lemas dibawa arus.

Rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis untuk gerakan mencari dan menyelamat.

Operasi mencari disertai lebih 60 orang terdiri daripada pasukan polis, anggota Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung.

Azid turut menasihati orang ramai agar tidak mandi sungai walaupun dalam keadaan air sungai surut pada musim kemarau kemungkinan bahaya pasir jerlus. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.