Parti Politik Dedah Sumber Dana, Rakyat Dapat Maklumat – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Rakyat akan mendapat maklumat yang lebih jelas apabila cadangan untuk mewujudkan semula peraturan menghendaki parti politik mendedahkan senarai punca dana politik yang diterima, dilaksanakan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tindakan itu juga merupakan suatu proses reformasi yang perlu diambil setiap parti di negara ini bagi menepis segala dakwaan negatif selain mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kini terpulang kepada pembangkang sama ada mereka sanggup menyahut cadangan itu ataupun tidak.

“Kalau menolak, jangan tekan UMNO untuk dedahkan itu ini. Perbetulkan dahulu parti sendiri. Orang ramai juga ingin tahu dari mana sumber mereka dapat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, di sini, Ahad.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan pengwujudan semula peraturan itu yang bertujuan memastikan parti politik lebih telus bukan hanya kepada anggota parti malah kepada penyokong parti masing-masing.

Cadangan itu pernah dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun ditolak DAP. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.