STAR, MCKK Juara Bahas Piala Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dinobatkan johan Bahas Piala Perdana Menteri ke-42, masing-masing bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Menara Berkembar Bank Rakyat pada Ahad, MCKK berjaya mengekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut apabila menewaskan Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan dengan membahaskan tajuk “This House Believes that the United Nation Human Rights Council should be Abolished”.

Manakala STAR menewaskan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dengan tajuk “Negara Maju Penyelamat Krisis Alam Sekitar”.

Pembahas MCKK, Amir Aniq Abdul Hazis muncul Pembahas Terbaik Bahasa Inggeris, manakala Muhammad Faris Mohd Idris dari SMAP Kajang dinamakan Pembahas Terbaik kategori Bahasa Melayu.

Pertandingan perbahasan itu khusus bagi Sekolah-sekolah Berasrama Penuh.

Juara membawa pulang wang tunai RM4,000, sijil penyertaan dan piala pusingan manakala naib juara menerima RM2,000, sijil dan piala pusingan.

Pembahas terbaik pula menerima wang tunai RM1,000, sijil dan hadiah iringan.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Ab. Razak. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.