Suami Maut, Isteri Cedera Kereta Rempuh Pokok Di Kuantan

KUANTAN – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebatang pokok di Jalan Kuantan-Gambang dekat Batu 8, di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian pada 2 pagi itu mangsa, Mohd Salehen Shukar@Shukur, 30, pekerja di sebuah Kilang Sawit di Felda Lepar hilir 3 di sini, mati di tempat kejadian.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata, isteri mangsa, Mazieatul Aida Abd Manan, 29, mengalami kecederaan patah tangan kiri dan luka di bahagian muka.

“Kemalangan berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke Gambang…kenderaan itu dipercayai hilang kawalan selepas melalui satu selekoh sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di kiri jalan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dalam keadaan jalan yang basah selepas hujan.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan isteri mangsa turut dirawat di hospital sama. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.